Tun Mohammad Ghazali Shafie : Negarawan Ulung Tun Mohammad Ghazali Shafie : Negarawan Ulung

(*Sebahagian besar maklumat dalam artikel ini adalah daripada rakaman Sejarah Lisan Allahyarham Tun Mohammad Ghazali Shafie dengan Arkib Negara pada 29 Julai 1999)


Pada 24 Januari 2011 yang lalu genaplah setahun pemergian  negarawan yang amat berjasa kepada negara. Beliau ialah Allahyarham Tun Mohammad Ghazali bin Shafie, bekas Menteri Kabinet yang telah berkhidmat di bawah empat orang Perdana Menteri iaitu dari zaman Tunku Abdul Rahman Putra hingga ke era Tun Dr. Mahathir Mohammad.  Membuka tirai 2010 negara telah menyaksikan dua bekas Menteri Kabinet yang pernah berbakti kepada negara iaitu Allahyarham Tun Fatimah Hashim dan dikuti pula oleh Tun Ghazali Shafie, kedua-duanya merupakan antara arkitek pembangunan negara yang amat disegani terutama ketika negara  diambang merdeka.

Tun Mohamad Ghazali dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang pada 1922 iaitu di negeri kelahiran ibunya, yang bernama Masusah binti Haji Mohd. Amin. Datuknya, Haji Mohd. Amin adalah Orang Kaya Setia Wangsa iaitu Orang Besar Berlapan, orang besar bergelar Pahang.  Sementara bapanya Shafie bin Deli, datuk beliau berasal dari Deli, Sumatera dan berhijrah ke Padang Lebar, Batu Kikir, Negeri Sembilan.  Bapanya bekerja dengan keretapi Tanah Melayu dan kemudian bertukar kerja sebagai pemeriksa jentik-jentik (Mosquito Destruction Committee atau MDC) bagi pencegahan malaria atau penguatkuasa pencegahan malaria, dan menetap di Kuala Lipis selepas berkahwin dengan ibunya.

Memulakan persekolahan di Sekolah Melayu Kuala Lipis pada tahun 1929, kemudian berpindah ke Sekolah Melayu Bentong pada 1930.  Semasa di Bentong, beliau tinggal bersama bapa saudaranya bernama Zainal Abidin yang juga berkawan rapat dengan Ibrahim Yaakub, pelopor Kesatuan Melayu Muda (KMM). Semasa di Raub juga beliau telah mula didedahkan dengan maklumat mengenai nasionalisme Melayu kerana sering mengikuti perbincangan pakciknya dengan Ibrahim Yaakub. Beliau juga dilatih oleh ahli-ahli KMM untuk berpidato dan amat meminatinya. Pergaulannya dengan ahli-ahli KMM juga membuatkan beliau mula mengenali nasionalisme Melayu dalam usia yang muda serta memahami erti penjajahan dan kebebasan untuk bangsa dan negara.

Apabila memasuki darjah tujuh, beliau berpindah ke Sekolah Inggeris Raub dan tinggal di asrama, iaitu pada tahun 1932. Setiap kali cuti sekolah Tun  Ghazali akan pulang ke Kuala Lipis dengan menaiki bas dari Jerantut. Semasa berulang alik dengan bas, beliau mula berkenalan dengan seorang kawan yang berasal dari Pekan dan bersekolah di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), pelajar ini akan turun keretapi yang dinaikinya dari Kuala Kangsar di Jerantut dan sama-sama menaiki bas ke kampung masing-masing. Di sini mereka mula berkawan rapat. Kawan beliau ini ialah Abdul Razak bin Hussein. Persahabatan keduanya telah bermula sejak dari kecil lagi. Tun Ghazali menceritakan bagaimana beliau dan Allahyarham Tun Razak bermain bersama-sama ketika cuti sekolah, kerana bapa Tun Razak yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah di beberapa daerah di Pahang. Semasa zaman Jepun Tun Razak sering bermalam dan bersama tidur di atas lantai beralaskan tikar dirumahnya. Kedua tokoh ini pernah bertugas bersama di pejabat pentadbiran Jepun di Temerloh sebelum Tun Ghazali dipindahkan ke pejabat propaganda Jepun di Kuala Lipis. Banyak kegiatan yang dilakukan bersama semasa zaman Jepun oleh keduanya. Persahabatan ini kekal hinggalah mereka bersama-sama dalam satu barisan pentadbiran Negara.

Mukasurat: 1  2  3  4