Majlis Raja-raja: Penaung dan Lambang Kedaulatan Institusi Diraja Majlis Raja-raja: Penaung dan Lambang Kedaulatan Institusi Diraja

Bermula 10 Februari 2010 hingga 11 Februari 2010, Majlis Raja-Raja bermesyuarat buat kali ke-220. Mungkin bagi kita, rakyat biasa terlepas pandang akan peri pentingnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja ini. Sedar atau tidak, angka ke-220 itu sebenarnya memberikan satu pengertian tinggi, kepada kita warga Malaysia betapa pentingnya Majlis Raja-Raja perlu bermesyuarat yang lazimnya diadakan tiga kali dalam tempoh setahun. Kepentingan dan impaknya kepada setiap dari kita yang bernaung di bawah prinsip Raja Berperlembagaan ini, perlu dihayati semua supaya kita sedar maksud tersirat di dalam salah satu prinsip Rukun Negara kita iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Kita mulai dengan menyorot kembali langkah bermulanya dan mengapa wujudnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja ini. Walaupun timbul polemik mengenai asal wujudnya mesyuarat Majlis Raja-Raja ini, satu perkara yang penting kepada kita semua ialah, di sinilah bermulanya permuafakatan di antara semua Raja-Raja Melayu yang memegang amanah orang-orang Melayu dengan hasrat menyatupadukan dan mempertahan hak dan kedaulatan orang-orang Melayu malah menyuarakannya kepada pihak British ketika itu. Tanggal 13 Julai 1897, adalah tarikh perjumpaan pertama yang hanya melibatkan raja-raja Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu. Perjumpaan ini diadakan di Istana Negara, Kuala Kangsar, Perak. Meskipun ketika itu Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ini dipanggil ‘Durbar', yang diambil daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar membawa maksud istana raja), ia juga membawa maksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh raja negeri berkenaan, ataupun Gabenor atau Wizurai British di India. Apa jua maksudnya, matlamat dan hasil kesan dari Durbar itu, membawa seterusnya kepada pembentukan negara kita Malaysia.

Mukasurat: 1  2  3  4