Tan Sri Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahman Tan Sri Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahman

   Tan Sri Abdul Aziz dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan dan mendapat pendidikan di Malaysia, Singapura, United Kingdom (London) dan Amerika Syarikat. Beliau merupakan seorang peguam bela dan peguam cara dan berpengalaman selama 35 tahun dalam pengurusan awam dan swasta. Beliau memulakan kerjaya dengan menjawat jawatan dalam perkhidmatan Kerajaan Persekutuan dan berkhidmat selama 15 tahun. Tujuh  tahun yang pertama  beliau berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan selebihnya dalam bidang kehakiman dan perundangan. Mantan Majistret, Presiden Mahkamah Seksyen, Penasihat Persekutuan dan Pembantu Pendraf Undang-undang parlimen ini bersara dari perkhidmatan kerajaan sebagai Penasihat Persekutuan dan Pegawai Undang-undang MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) semasa Darurat 1969.

  Tan Sri Aziz merupakan antara orang yang paling awal menyertai Malaysia Airlines semasa penubuhannya pada tahun 1971 iaitu sebagai Setiausaha dan Pengarah Hal Ehwal Undang-undang. Setelah 20 tahun berkhidmat, beliau bersara sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif pada penghujung tahun 1991, jawatan yang dijawatnya selama 10 tahun . Semasa berkhidmat, beliau telah membawa banyak perubahan dan kemajuan dalam Malaysia Airlines.

  Kecemerlangan dalam perkhidmatan melayakkan beliau menerima anugerah seperti Manager of the Year Award (1984) dari Harvard Business School Alumni, Aviation Personality (1989) dari Aviation Week, New York dan Transport Personality (1989) dari Straits Shipper selain daripada anugerah kebesaran negara. Tan Sri Aziz kerap diundang membentangkan kertas kerja di seminar dan persidangan di dalam dan luar negara berkaitan penerbangan, sistem penerbangan, pengurusan dan pelancongan.

  Beliau juga menjadi fellow beberapa institut dan ahli lembaga pengarah syarikat awam dan swasta dalam dan luar negara selain banyak melibatkan diri dalam badan-badan sukarela seperti Institut Pengurusan Malaysia selaku Timbalan Presiden, Persatuan Alumni Universiti Amerika Syarikat Malaysia (Presiden) dan Persatuan Penduduk Bukit Damansara, Kuala Lumpur (Presiden). Tan Sri Aziz sangat berminat dalam bidang penulisan terutama dalam bidang pengurusan dan telah menulis buku ‘Management Philosophy and Techniques' pada tahun 1992.

Tokoh Majlis Pengkisahan Sejarah 58 Tahun Malaysia Airlines
29 September 2005
Arkib Negara Malaysia