Abdul Aziz Bin Tapa Abdul Aziz Bin Tapa

  Abdul Aziz Bin Tapa

  Abdul Aziz bin Tapa dilahirkan di Kampung Rim, Jasin, Melaka pada 13 Jun 1923, pada malam Hari Raya Haji dan menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Jasin ketika berumur 7 tahun. Pada tahun 1938, beliau telah lulus peperiksaan darjah 6 dan seterusnya menjadi guru pelatih. Setahun kemudian beliau telah diterima masuk ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) di Tanjung Malim, Perak. Bagaimanapun, pengajian beliau di MPSI tergendala apabila meletusnya Perang Dunia Kedua dan telah dihantar ke Port Dickson untuk menjalani latihan sebagai ‘Federated Malay State Volunteer Force'. Menurut beliau, nasibnya baik kerana ditugaskan sebagai Rejimen Polis (RP) di Kem Port Dickson setelah tamat latihan. Sebagai anggota sukarelawan, beliau tidak terikat dengan undang-undang tentera dan memilih untuk meninggalkan perkhidmatan tentera apabila tentera Jepun menguasai sepenuhnya Tanah Melayu dan Singapura. Beliau turut belajar di Sekolah Jepun dan mendalami Bahasa Jepun selama 3 bulan untuk menjadi seorang guru sains.

   Tan Sri Datuk Wira Haji Abdul Aziz Tapa meneruskan pengajiannya di MPSI pada tahun 1945 sehinggalah tamat pada tahun 1947. Dalam kerjaya perguruannya beliau pernah menerima latihan di Maktab Perguruan Ilmu Khas di Cheras, Kuala Lumpur dalam bidang lukisan dan pertukangan tangan serta mengajar di beberapa buah sekolah rendah dan menengah di Melaka sebagai Guru Penolong Kanan dan Pengetua. Pada tahun 1974 beliau telah bersara dan menumpukan segala kegiatannya dalam bidang politik secara aktif.

   Kegiatan politik beliau sebenarnya telah bermula pada tahun 1946 dengan menganggotai Persatuan Melayu Johor Cawangan Melaka anjuran Dato' Onn Jaafar. Dalam Kongres Melayu Ketiga pada 11 Mei 1946, UMNO telah ditubuhkan dengan rasminya. Dengan penubuhan UMNO, Persatuan Melayu Semenanjung Johor dengan sendirinya terbubar dan ahli-ahlinya termasuk Abdul Aziz menjadi ahli UMNO. Beliau bergerak cergas dalam kegiatan Pemuda UMNO Melaka sehingga tahun 1957. Pada akhir tahun 1957, Kongres Kebudayaan Melayu yang pertama diadakan di Melaka. Selaku Bendahari Kongres, Abdul Aziz bekerja keras untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membiayai perjalanan kongres. Sejak itu, beliau terus menumpukan kegiatan untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan melalui Persatuan Persuratan dan Kebudayaan khususnya Ikatan Persuratan Melayu yang telah dianggotainya sejak tahun 1952 lagi. Bagaimanapun, kesetiaannya kepada UMNO tidak pernah berubah meskipun tidak lagi aktif buat beberapa lama. Pada tahun 1972 apabila berlaku pemecahan bahagian, di mana Jasin menjadi bahagian yang tersendiri, beliau aktif semula di dalam politik selaku Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Jasin. Pada tahun 1974, Abdul Aziz dipilih menjadi Timbalan Ketua Bahagian Jasin dan pada tahun 1978 beliau dilantik menjadi Naib Ketua Bahagian. Beliau telah menjadi Bendahari UMNO Perhubungan Negeri Melaka selama 9 tahun berturut-turut iaitu sejak tahun 1978 sehingga 1986.

Mukasurat: 1  2