Adat Perpatih: Adat Warisan Bangsa Adat Perpatih: Adat Warisan Bangsa

ADAT PERPATIH: ADAT WARISAN BANGSA

Kemakmuran sesuatu bangsa bukan sahaja bergantung kepada sistem pentadbiran dan undang-undang yang baik malah, ianya turut berkait rapat dengan kepercayaan dan adat sesuatu bangsa. Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka, takrifan adat adalah peraturan lazim yang diamalkan sejak dahulu lagi dalam sesuatu masyarakat yang membawa maksud tatacara atau peraturan yang khusus dalam melaksanakan sesuatu upacara yang berkaitan dengan budaya. Kepelbagaian bangsa di Malaysia telah mencambahkan kepelbagaian adat. Tidak dinafikan adat juga merupakan antara kepercayaan turun temurun terhadap sesuatu perkara yang jika tidak dituruti atau dipercayai akan membawa kepada kecelakaan dan bencana. Namun, tidak dinafikan adat juga boleh berubah mengikut peredaran zaman dan masa.

Pernahkah anda mendengar pepatah “biar mati anak, jangan mati adat”? Mungkin kerana pepatah tersebut, menjadikan adat ini masih cukup dikenali dan diketahui umum, seperti tidak lekang dek zaman. Di Malaysia, tentunya jika menyebut mengenai adat perpatih, Negeri Sembilan merupakan negeri yang paling sinonim dengan adat ini. Namun, tahukah anda adat perpatih ini tidak berasal dari Negeri Sembilan? Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, Indonesia dan diasaskan oleh pemimpin Minangkabau iaitu Sultan Balun yang bergelar Dato’ Perpatih Nan Sebatang. Adat perpatih ini telah diamalkan tidak kurang daripada 600 tahun dahulu. Sistem adat ini telah melalui pelbagai peringkat perkembangan dalam tempoh enam abad ini. Menurut buku “Glosari Istilah Adat Perpatih”, adat ini dikatakan bermula daripada gabungan dan penyepaduan antara dua adat iaitu adat kaum perantau dari Sumatera dengan adat Orang Asli Tempatan.

Umumnya, Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Malaysia oleh perantau-perantau Minangkabau sejak abad ke-14 Masehi lagi. Adat ini terus berkembang biarpun ketika itu Tanah Melayu bertembung dengan orang Barat dan akhirnya zaman merdeka dan diikuti pula oleh era teknologi moden dan globalisasi. Kini Adat Perpatih masih lagi diamalkan oleh masyarakat Melayu yang majoritinya berketurunan Melayu Minangkabau di Negeri Sembilan dan sebahagiannya di Naning, Melaka (25 mukim). Masyarakat ini terbahagi kepada beberapa puak yang dipanggil suku.

Mengikut struktur, masyarakat Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Perut, Suku dan Luak. Perut merupakan unit masyarakat terkecil yang di ketuai oleh seorang Buapak yang dipilih oleh anggota atau anak-anak buah dari dalam satu perut. Anggota sesuatu perut adalah terdiri atau berasal daripada moyang keturunan perempuan yang sama. Di dalam kumpulan yang kedua, iaitu suku, kumpulan dibentuk daripada beberapa perut yang menjadikannya kumpulan yang lebih besar. Suku ini pula akan diketuai oleh seorang Dato’ Lembaga. Manakala, untuk kumpulan yang ke tiga, iaitu Luak, merupakan sebuah kawasan pentadbiran yang berteraskan kepada adat dan diketuai oleh seorang Undang. Terdapat empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu. Manakala, luak kelima iaitu Luak Tanah Mengandung, terdiri daripada lima luak kecil di Seri Menanti iaitu Luak Inas, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak Terachi dan Luak Jempol. Luak kecil ini diketuai oleh seorang ketua.

Umum mengetahui adat perpatih ini lebih mementingkan kaum wanita berbanding kaum lelaki. Kelebihan wanita diletakkan kepada pewarisan harta pusaka dan membawa darah keturunan. Berbeza dengan adat lain yang meletakkan harta dan darah keturunan diwarisi oleh kaum lelaki. Perkara yang membawa kepada perletakkan darah keturunan kepada wanita adalah kerana, wanita yang mengandungkan dan melahirkan anak, maka wanitalah yang membawa kepada darah keturunan kepada pewaris (anak). Manakala, harta pusaka (tanah adat dan rumah induk) yang diwariskan kepada wanita bertujuan supaya kaum wanita tidak terabai sekiranya ditinggalkan atau diceraikan oleh si suami. Walaubagaimanapun, harta sepencarian tetap dibahagikan mengikut hukum Islam (hukum faraid).

Adat Perpatih terbahagi kepada lima prinsip utama iaitu yang pertama, nasab keturunan adalah melalui ibu. Keistimewaan diberikan kepada wanita iaitu ibu yang mengandungkan dan melahirkan pewaris-pewaris yang membentuk masyarakat. Pada prinsip ini setiap anak atau pewaris adalah anggota kepada suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya. Prinsip kedua menyatakan, tempat kediaman adalah di kawasan ibu si isteri. Apabila berlangsung sesuatu perkahwinan, si suami akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap bersama dan dikawasan ibu, si isteri akan bertanggungjawab untuk mengusahakan tanah keluarga si isteri. Di prinsip ketiga, perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka. Lelaki menyandang saka bermaksud hanya lelaki sahaja yang layak menyandang jawatan di dalam adat, manakala wanita akan mewarisi harta pusaka keluarga ibunya. Prinsip keempat menyatakan, perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang. Hubungan yang rapat diantara lelaki dan perempuan di dalam sesuatu perut atau suku menjadikan mereka adalah bersaudara seperti adik-beradik. Oleh itu, perkahwinan sesama suku adalah dilarang dan jika dilangsungkan juga, wanita tersebut akan kehilangan hak untuk mewarisi harta pusaka ibunya, manakala si lelaki akan kehilangan hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat. Pada prinsip kelima pula, orang luar boleh menjadi suku untuk tujuan tertentu seperti perkahwinan atau mewarisi harta pusaka dengan melalui upacara berkedim. Melalui upacara ini, seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang disertainya.

Adat Perpatih merupakan sebuah sistem yang lengkap dengan perlembagaan dan peraturan yang melengkapkan fungsi sesebuah masyarakat. Adat ini terus berkembang mengikut peredaran zaman atas beberapa faktor seperi pembelajaran dan pensosialisasian secara lisan yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Semoga adat ini akan kekal terpelihara menjadi adat warisan bangsa.

Mukasurat: 1  2  3