Bangunan Sultan Ibrahim Bangunan Sultan Ibrahim

Bangunan Sultan Ibrahim merupakan Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor yang menempatkan Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Johor. Rekabentuk bangunannya yang unik serta kedudukannya yang terletak di atas Bukit Timbalan memberi identiti tersendiri kepada bangunan bersejarah yang menjadi mercu tanda bagi bandar Johor Bahru. Bangunan ini dibina atas titah Sultan Johor, DYMM Almarhum Sultan Ibrahim untuk dijadikan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Johor serta melambangkan keagungan kerajaan negeri Johor yang sedang berkembang maju. Ini kerana sejak daripada perpindahan pusat pentadbiran Johor dari Teluk Belanga, Singapura ke Tanjung Puteri (kemudiannya dinamakan Johor Bahru) pada tahun 1866 pusat pentadbiran kerajaan belum mempunyai bangunannya sendiri. Dengan pembinaan bangunan baru ini pejabat-pejabat Kerajaan negeri dapat disatukan di bawah satu tempat bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan Kerajaan.

Cadangan untuk membina bangunan ini bermula pada tahun 1929, namun akibat daripada kemerosotan ekonomi pada tahun 1930 maka cadangan itu telah ditunda. Pada tahun 1937, pelan bangunan yang direka bentuk oleh arkitek Messrs Palmer dan Turner telah diterima dan dipersetujui. Lanjutan daripada itu pada 7 November 1938, Tengku Mahkota Johor, YAM. Tunku Ismail (Pemangku Raja Johor) berkenan menyempurnakan upacara menambak tanah di tapak pembinaan bagi menandakan bemulanya kerja-kerja pembinaan. Pada 10 Mac 1940, YAM Tunku Mahkota Johor sekali lagi berkenan menyempurnakan upacara perletakan batu asas pembinaan bangunan ini. Pada upacara tersebut, Mufti Kerajaan Negeri Johor, Tuan Syed Alwi telah mengetuai bacaan doa selamat.

Sekitar tahun 1941, kerja-kerja pembinaan bangunan ini terhenti ekoran daripada Perang Dunia Kedua yang telah merebak ke Tanah Melayu. Peperangan ini telah menjejaskan beberapa bahagian dinding bangunan yang masih dalam proses pembinaan. Dinding yang menghadap ke Selat Tebrau telah terkena bedilan meriam dari arah Singapura. Selepas perang kerja-kerja pembinaan bangunan ini diteruskan oleh kontraktor Messrs United Engineers dan Ah Hong and Company di bawah pengawasan arkitek Messrs Palmer dan Turner. Menjelang akhir tahun 1942 bangunan setinggi sebelas tingkat dan menelan belanja sebanyak RM2 juta ini siap sepenuhnya.

Keunikan reka bentuk dan senibina yang dihasilkan adalah gabungan senibina Melayu Johor, Islam dan Kolonial. Pada bahagian hadapan iaitu ruang tengahnya terdapat lukisan lapan bintang pada lantainya yang melambangkan lapan daerah di negeri Johor. Manakala pada pintu masuknya terdapat ukiran berbentuk menara dan pada tiang-tiangnya pula terdapat ukiran menarik bermotifkan tumbuhan-tumbuhan seperti bunga cengkih dan lada hitam yang melambangkan hasil utama negeri Johor suatu masa dahulu.

Pemindahan pejabat-pejabat lain ke bangunan baru ini dan perayaan pembukaannya telah diadakan pada hari Selasa 3 November 2602 iaitu `Hari Meiji Setsu' bersamaan 3 November 1942. Bangunan ini selain menempatkan pejabat-pejabat kerajaan negeri, juga berfungsi sebagai tempat berlangsungnya Mesyuarat Dewan Undangan Negeri . Sebagai mengenang jasa Almarhum Sultan Ibrahim yang menitahkan pembinaan bangunan ini, pada 9 Ogos 1982, bangunan ini diisytiharkan namanya sebagai Bangunan Sultan Ibrahim oleh Sultan Johor (nama Sultan)

Sehingga kini bangunan Sultan Ibrahim tetap teguh berdiri di atas Bukit Timbalan menyaksikan arus Pembangunan Johor Bahru yang semakin pesat membangun dan fungsinya sebagai salah sebuah bangunan pejabat-pejabat Kerajaan tetap terpelihara bersama keaslian bentuknya yang unik dan menarik itu.