Cap Mohor - Warisan Dunia Cap Mohor - Warisan Dunia

CAP MOHOR 'WARISAN DUNIA'

Oleh: Nurzuliana binti Kamaruzaman

 

Apabila memperkatakan mengenai cap mohor, pasti kebanyakan kita mengaitkannya dengan institusi raja – raja. Dalam dunia Melayu, cap juga disebut sebagai ‘meterai’, ‘tera’, atau mohor. Manakala, mohor itu sendiri membawa kepada dua maksud yang tersendiri: Pertamanya, alat atau matriks atau terap yang diperbuat daripada bahan keras seperti gangsa atau keluli untuk meninggalkan kesan pada bahan lembut seperti kertas atau lilin dan kesan ini serupa dengan kebalikan citra yang terukir pada matriks. Keduanya, kesan yang ditinggalkan apabila citra ukiran tadi ditekan pada kertas atau bahan lembut atau lilin.

Sejarah membuktikan cap mohor telah digunakan beribu tahun dahulu sejak zaman sebelum Islam. Ia bertujuan sebagai pengenalan kepada pemilikan sesuatu perintah, arahan, warkah atau surat. Cap mohor merupakan salah satu cara pengesahan yang dilakukan oleh pembesar dan orang-orang kenamaan dengan meletakkan tanda khas yang mempunyai nama mereka selain tanda tangan. Dalam dunia pra-moden Melayu, tidak semua golongan pemerintah boleh membaca, oleh itu menandatangani surat bukanlah tradisi Melayu. Oleh yang demikian, seseorang yang dipercayai akan diminta untuk menulis surat tersebut dan pemerintah akan mengecap cap mohor sebagai tanda pengesahan dan pemilikan kepada surat tersebut.

Dalam sejarah Islam, cap mohor telah digunakan sejak zaman Rasulullah s.a.w. Pada tahun 628 Masihi, sewaktu baginda ingin menulis surat kepada Maharaja Byzantium mengenai seruan Islam, baginda telah dimaklumkan bahawa Maharaja Byzantium hanya akan membaca surat yang mempunyai cap mohor. Oleh itu, Rasulullah telah menggunakan satu cap mohor yang mempunyai ukiran perkataan 'Muhammaad Rasulullah' pada surat baginda.

Cap Mohor Melayu

Manakala, dalam sejarah Melayu, cap mohor telah diguna sejak abad ke-15. Semua Cap Mohor Melayu yang diketahui pada hari ini tergolong dalam kumpulan Cap Mohor Islam yang lebih luas. Cap mohor terawal yang diketemui ialah cap mohor Sultan Alauddin Riayat Syah dari Aceh yang terdapat pada dokumen bertarikh sekitar 1602.

Cap Mohor Melayu juga biasanya mempunyai tulisan dalam Bahasa Arab atau Bahasa Melayu atau Bahasa Arab dan Melayu, dan dalam tulisan Jawi. Namun bermula pada abad ke-18, tulisan rumi telah pun digunakan dalam beberapa cap mohor, berikutan pengaruh daripada Eropah. Kebiasaannya, cap mohor mengandungi nama peribadi, gelaran, tarikh, tempat dan ungkapan Islam. Sesetengah daripada cap mohor yang ditemui juga sukar di tafsir, seperti tepi huruf-huruf pada cap mohor Sultan Pontianak dan cap mohor Kedah yang terdiri daripada 9 atau 16 petak berangka.

Bahan yang paling sering digunakan untuk mengecap cap mohor ke atas kertas ialah asap pelita. Terdapat juga bahan lain seperti dakwat dan lilin (lak). Manakala kedudukan cap mohor pada kertas adalah penting dan ia bergantung kepada pangkat dan darjat pengirim dan penerima.

Mukasurat: 1  2  3  4