Cap Mohor - Warisan Dunia Cap Mohor - Warisan Dunia

Cap Mohor Pada Zaman Moden

Walaupun di zaman yang serba moden dan membangun, penggunaan cap mohor masih dipraktikkan dengan meluas oleh pihak kerjaan, badan korporat mahupun individu. Penggunaann cap mohor pada semua dokumen rasmi kerajaan adalah perlu. Mohor Besar Persekutuan disimpan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Perkara 36 dalam Perlembagaan Persekutuan). Manakala, Mohor Besar sesebuah negeri biasanya disimpan dan digunakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (Seksyen 4, Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan).

Cap Mohor Besar Raja-Raja

Terdapat dua Mohor Besar yang disimpan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Mohor Besar yang pertama berukuran 51 cm panjang, 22 cm lebar, 52 cm tinggi dan seberat 93 kg. Mempunyai pemegang yang boleh dipulas untuk menurunkan permukaan terap di sebelah atas Mohor Besar supaya bertembung dengan terap yang disebelah bawah. Apabila kedua-dua terap ini bertembung, satu kesan citra akan terbentuk. Mohor ini juga dipasang dengan sepasang skru besar pada gerobok daripada kayu mahagoni, dan ini membuatkannya sentiasa tersimpan di Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Ia ditutup dengan penutup segi empat bujur setinggi 60 cm dan dikunci dengan tiga buah manga. Dua buah digunakan untuk mengunci bahagian terap Mohor Besar dan satu manga lagi digunakan untuk mengunci penutup Mohor Besar pada gerobok.

Manakala, Mohor Besar yang kedua berukuran 19.5 cm panjang, 8.5 cm lebar dan 20.5 cm tinggi. Bahagian pemegangnya ialah 21 cm panjang, bahagian matriksnya pula 6.5 cm tinggi, manakala blok Mohor Besar itu berukuran 6 cm tinggi. Jumlah beratnya ialah 38 kg. Permukaan Mohor Besar kedua ini sama seperti Mohor Besar pertama, tetapi Mohor Besar kedua ini lebih mudah dibimbit bertujuan untuk senang dibawa ke luar pejabat apabila perlu.

Badan kedua-dua Mohor besar ini diperbuat daripada keluli dan permukaannya pula daripada gangsa. Kedua-dua Mohor Besar ini dibuat di England pada tahun 1949. Permukaan Mohor Besar mengandungi jata kerajaan Sembilan Negeri Melayu serta perkataan “Mohor Besar Raja-Raja Negeri Melayu” ditulis dalam huruf jawi. Mohor Besar Raja-Raja lebih berat daripada Mohor Besar Persekutuan.

Fungsi Mohor Besar

Mohor Besar Raja-Raja ini mempunyai beberapa fungsi antaranya ialah sebagai lambang kuasa dan hak institsi Majlis Raja-Raja kerana ianya terbit daripada sebuah badan yang teragung negara. Selain itu, ia juga menjadi lambang kepercayaan dan kuasa kepada surat yang dimeterai dengan cap mohor ini. Mohor juga membuktikan kesahihan asal usul sesuatu surat cara. Oleh kerana terapan daripada Mohor Besar akan merubahkan tekstur kertas, maka cap mohor ini dapat bertahan lebih lama daripada “cap getah” yang menggunakan dakwat yang tertera pada permukaan surat cara.

Mukasurat: 1  2  3  4