Dari Malaya Ke Malaysia Dari Malaya Ke Malaysia

Dari Malaya Ke Malaysia

Lahirnya Malaysia pada tanggal 16 September 1963 mencatatkan satu sejarah yang amat bermakna. Ianya menandakan satu lagi perubahan pada geo-politikal rantau Kepulauan Melayu. Kepada Singapura, Sabah dan Sarawak, gagasan Malaysia lebih bermakna kerana ia membawa erti kebebasan dan kemerdekaan dari penjajahan British. Bagi Persekutuan Tanah Melayu yang telah pun merdeka pada 31 Ogos 1957, gagasan Malaysia menjangkaui pengertian survival dan keamanan serantau.

Jika dilihat kembali rentetan-rentetan yang membawa kepada penubuhan Malaysia, nyata usaha untuk merealisasikan gagasan ini bukan satu jalan mudah. Ia bukan hanya soal menggabungkan beberapa buah negeri atau wilayah yang terpisah dari segi geografikal ke dalam satu unit pentadbiran. Tetapi juga melibatkan penyatuan negeri-negeri dan wilayah yang masing-masing mempunyai pemerintah dengan idealisme dan kepentingan kebangsaan yang tersendiri, lantaran dicorakkan oleh liku-liku dan pengalaman sejarah yang dilalui masing-masing berabad lamanya.

Untuk menggarapkan semuanya ke dalam satu entiti sebuah kenegaraan yang mempunyai persamaan cita-cita dan aspirasi memang amat sukar. Hanya aspirasi untuk menikmati kebebasan dan mencapai keamanan dan kesejahteraan serantau sahaja menjadi faktor penguat dan pemudah bicara sehinggalah lahirnya Malaysia.

Mengapa Malaysia wujud

Ada beberapa sebab mengapa Malaysia dibentuk. Antaranya untuk membendung penularan ideologi dan pengaruh komunisme dari menguasai dan mengugat kestabilan politik serantau, mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak, mengimbangi aspek kependudukan dan meningkatkan kemajuan ekonomi wilayah-wilayah yang terlibat.

Bagi pihak British, manfaat yang akan diperolehi daripada penyatuan ini ialah ia dapat menyelesaikan masalah status perlembagaan ketiga-tiga wilayah Borneo; mengurangkan peluang penguasaan ke atas wilayah-wilayah Borneo oleh Indonesia atau Filipina; mengelakkan Singapura dari jatuh di bawah pengaruh China; dan mewujudkan satu persekutuan yang stabil yang dapat mengurangkan tanggungjawab British terhadap keselamatan dalam negeri di kawasan-kawasan ini.

Bagi Singapura, percantuman dengan Persekutuan Tanah Melayu sesuatu yang amat diharapkan kerana melaluinya Singapura akan memperolehi kemerdekaannya dan pada masa yang sama mencapai matlamat pemacuan ekonominya.

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6  7