Dari Malaya ke Malaysia Dari Malaya ke Malaysia



Bagi Borneo Utara dan Sarawak, gagasan Malaysia nyata akan mempercepatkan proses perolehan kemerdekaan buat negeri mereka. Malah, peruntukan yang menyentuh hak dan kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang akan diperluaskan ke Borneo Utara dan Sarawak, dilihat dapat memperbaiki kedudukan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Bagi Persekutuan Tanah Melayu, membendung ancaman komunis dan mewujudkan keamanan serantau menjadi matlamat utama. Perkembangan politik di Singapura pada ketika itu semakin memperlihatkan peningkatan pengaruh parti berhaluan kiri sehingga menimbulkan kebimbangan kerajaan Persekutuan.

Tunku dalam ucapan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961 menegaskan bahawa  Persekutuan Tanah Melayu tidak boleh berdiri sendiri dalam usaha membendung komunisme di rantau ini. Bagi membentuk benteng kukuh menghadapi ancaman tersebut, satu rancangan atau gagasan yang boleh mengikat kerjasama politik dan ekonomi antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak hendaklah dibentuk.

Tujuan penubuhan Malaysia dijelaskan lagi oleh Tunku dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Khas UMNO pada 4 November 1961 -
"kita mempunyai niat dan tujuan yang bersih terhadap negeri-negeri ini untuk melepaskan mereka daripada takluk penjajah. Dengan percantuman itu kelak, mereka dengan sendirinya akan menjadi negeri-negeri yang merdeka bersama-sama dengan kita dalam sebuah kerajaan yang bersatu".


Bagaimana ia bermula

Idea awal pergabungan ini telah berakar umbi sejak 1887. Namun konsepnya pada ketika itu adalah untuk menggabungkan koloni-koloni British di Asia Tenggara ke dalam sebuah tanah jajahan yang besar. Tujuannya, untuk memudahkan pentadbiran dan penyelarasan dasar British terhadap tanah-tanah jajahannya di rantau ini. Namun cadangan supaya wilayah-wilayah di Borneo digabungkan dengan negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, bagaimanapun tidak mendapat maklumbalas yang positif. Beberapa cadangan serupa yang dikemukakan kepada kabinet Britain pada tahun 1888 dan 1932 juga menemui kegagalan.

Apabila British kembali bertapak di Asia Tenggara selepas Perang Dunia Kedua, idea penyatuan ini dihidupkan semula. Usaha-usaha British seperti mewujudkan jawatan Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara untuk menyelaras dasar pentadbiran tanah-tanah jajahan British di rantau ini, menubuhkan Jawatankuasa Koordinasi Bersama Persekutuan Tanah Melayu-Singapura dan mengadakan beberapa perjumpaan dengan pemerintah-pemerintah tempatan secara langsung menjelaskan niat dan hasrat British ke arah penyatuan tersebut.

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6  7