Dari Malaya ke Malaysia Dari Malaya ke Malaysia



Sir Malcom MacDonald pada April 1955 menyatakan:

"Matlamat terakhir kami ialah untuk mewujudkan suatu persekutuan (confederation) di antara lima wilayah iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Borneo Utara dan Brunei. Kami telah bersetuju bahawa matlamat ini akan dicapai dalam dua tahap iaitu yang pertama melalui kombinasi penyatuan Persekutuan Tanah Melayu-Singapura dan wilayah-wilayah Borneo sebagai entiti yang terpisah. Tahap yang kedua ialah membawa kedua-dua kumpulan ini di bawah suatu kerajaan berperlembagaan yang sesuai."

Cadangan Sir Malcom MacDonald untuk menubuhkan Persekutuan Borneo yang merangkumi Brunei, Borneo Utara dan Sarawak bagaimanapun gagal apabila ditolak oleh Sultan Brunei. Cadangannya supaya Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura digabungkan bagi membolehkan kerjasama ekonomi dipertingkatkan juga gagal setelah ditolak oleh UMNO yang bimbang pada implikasi yang akan timbul terhadap keseimbangan antara kaum Melayu dan bukan Melayu.

Pada masa yang sama, Singapura, atas sebab-sebab politik dan ekonomi turut mengutarakan idea gabungan di antara Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura namun Tunku menolak kerana tidak mahu ia menjejaskan tuntutan kemerdekaan Tanah Melayu. Selepas Tanah Melayu merdeka, gesaan semakin bertambah untuk Greater Malaysia direalisasikan. Namun Tunku nyata sejak awal lebih berminat untuk percantuman dengan negeri-negeri Borneo. Bagi Tunku, penduduk di Semenanjung dan negeri-negeri di Borneo adalah diibaratkan saudara sedarah sedaging dan satu keturunan dengan mempunyai sistem dan cara pemerintahan yang sama. Tetapi British nyata tidak membenarkan percantuman tersebut tanpa memasukkan Singapura.

Hasil perbincangan dengan pihak British semasa Persidangan Perdana Menteri Komanwel pada Januari 1961 telah membibitkan perubahan pendirian Tunku. Idea pengasingan diri dari politik kewilayahan tidak akan berkesan dalam jangka panjang. Sungguhpun begitu, syarat diberi oleh Tunku untuk menerima Singapura sekiranya tiga wilayah di Borneo menyertai sama grand design ini.

Ucapan Tunku
di Singapura pada 27 Mei 1961 seterusnya menjadi titik tolak penting yang membuka laluan kepada pembentukan Malaysia. Melalui konsep Persekutuan Melayu Raya atau Malaysia Raya ini, semua negeri dalam persekutuan ini akan mempunyai taraf yang sama dengan mengekalkan kuasa-kuasa tempatan sebagaimana yang dipersetujui oleh negeri-negeri itu sendiri.

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6  7