Dari Malaya ke Malaysia Dari Malaya ke Malaysia



Namun, satu perkara penting yang dipersetujui oleh semua pihak adalah Malaysia harus mempunyai sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan ada pembahagian kuasa yang jelas antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri di samping mewujudkan peruntukan-peruntukan khas yang hanya digunakan di negeri-negeri tersebut.

Dalam pada itu, satu suruhanjaya bebas dan berkecuali telah dilantik pada Januari 1962 untuk meneliti pendapat dan pandangan rakyat Borneo mengenai Malaysia. Dalam lawatan di 35 buah tempat di Borneo Utara dan Sarawak termasuk ke kawasan-kawasan pedalaman, ahli Suruhanjaya Cobbold telah mengadakan 50 perjumpaan yang melibatkan sejumlah 4000 orang. Suruhanjaya juga telah menerima 2,200 memorandum yang dikemukakan oleh pelbagai persatuan, parti politik, pertubuhan keagamaan, kemasyarakatan dan kesatuan sekerja, ketua-ketua kaum serta individu.

Penyata Suruhanjaya Cobbold dikeluarkan pada Julai 1962. Hasil tinjauan yang dilakukan, majoriti rakyat Borneo Utara dan Sarawak didapati menyokong kemasukan ke dalam Malaysia. Lanjutan dari laporan Cobbold tersebut, penubuhan Malaysia akhirnya telah ditetapkan pada tarikh 31 Ogos 1963 beserta dengan syarat bahawa segala perkara berkaitan perlembagaan telah diselesaikan.
 
Dalam pada itu, wakil-wakil setiap negeri Borneo dibawa melawat dan melihat sendiri keadaan pentadbiran dan kemajuan yang telah dicapai seperti pembangunan luar bandar, peningkatan taraf pendidikan, kemudahan awam dan kesihatan serta hak-hak keistimewaan kaum bumiputera.

Berikutan itu, sebuah jawatankuasa ditubuhkan pada Ogos 1962 iaitu Jawatankuasa Antara Kerajaan yang juga dikenali sebagai Lansdowne Committee (IGC) bagi melaksanakan tanggungjawab berkaitan perkara perlembagaan yang dapat memelihara kepentingan kedua-dua negeri dalam Persekutuan baru tersebut. Berikutan itu, sebuah penyata dikeluarkan oleh jawatankuasa yang menggariskan cadangan-cadangan perlembagaan berkaitan.

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang sedia ada telah dipersetujui menjadi asas kepada Perlembagaan Malaysia. Selepas mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan wakil-wakil Borneo Utara, IGC menghasilkan draf '20 Perkara' yang menyentuh kepentingan Borneo Utara dalam Malaysia. 20 perkara yang menjadi asas kompromi ini membabitkan  antaranya, bahasa, agama, kewangan, undang-undang, perkhidmatan awam, pendidikan, perwakilan dalam Parlimen dan imigresen.

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6  7