Dari Malaya ke Malaysia Dari Malaya ke Malaysia



Begitu juga dengan Sarawak, kompromi yang dicapai digarap dalam '18 Perkara'. Persefahaman melalui '20 Perkara' dan '18 Perkara' inilah yang menjadi pengikat dan asas perlindungan kepada hak-hak penduduk di Borneo Utara dan Sarawak dalam Malaysia.

Kejayaan untuk merealisasikan Malaysia telah mengundang pelbagai lagi cabaran yang diterima daripada negara-negara jirannya. Pada 22 Jun 1962, Filipina mengumumkan tuntutan secara rasmi ke atas Borneo Utara yang dikaitkan dengan Kesultanan Sulu. Paparan di dada-dada akhbar di negara tersebut silih berganti bagi membakar semangat rakyat Filipina menyokong kerajaannya mendapatkan Borneo Utara.

Tuntutan yang dimulakan oleh Presiden Macapagal tersebut dibawa sehingga ke persidangan agung PBB dan kepada perhatian kerajaan Amerika dan Britain. Sejak dari mula idea pembentukan Malaysia diutarakan sehingga ke hari ini, isu tuntutan ke atas Borneo Utara tidak menemui penyelesaiannya. Pada penghujung 1962, komunis di seluruh Asia Tenggara pula mengutuk gagasan Malaysia dan cuba menghalang penubuhannya.

Pada 8 Disember 1962, berlaku pemberontakan di Brunei diketuai oleh A.M. Azahari, pemimpin Parti Rakyat Brunei bersama Tentera Nasional Kalimantan Utara. Walaupun pemberontakan ini berjaya dipatahkan dengan bantuan tentera British dan Gurkha, namun ia telah menjadi satu faktor yang menyebabkan Sultan Brunei menolak kemasukan Brunei ke dalam Malaysia.

Dalam pada itu, Indonesia memulakan kempen 'Ganyang Malaysia' kerana membantah penubuhan Malaysia yang dianggap mencabar hasrat dan impian Presiden Sukarno untuk menubuhkan Indonesia Raya atau Melayu Raya. Pada 20 Januari 1963, konfrantasi dilancarkan terhadap Malaysia sehingga membawa pendaratan askar-askar payung terjun dan penyusupan gerila Indonesia di Johor, Borneo Utara dan Sarawak. Namun serangan yang mengorbankan sebilangan tentera ini telah berjaya dipatahkan dengan bantuan dan kerjasama askar-askar Gurkha, British, Australia dan New Zealand.

Di sebalik cabaran dan halangan yang terpaksa dilalui, rundingan akhir penubuhan Malaysia diadakan juga di London pada pertengahan 1963 bagi memeterai persetujuan semua pihak yang terlibat terhadap semua syarat untuk percantuman di bawah Malaysia. Susulan itu, Perjanjian Malaysia ditandatangani pada 8 Julai 1963 di antara Britain, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara dan Sarawak. Dengan meterainya perjanjian ini, berakhirlah kedaulatan Britain ke atas Borneo Utara, Sarawak dan Singapura.

Dalam usaha untuk menyelesaikan pertelingkahan berkaitan Malaysia, satu sidang kemuncak diadakan di Manila pada akhir Julai 1963. Satu persetujuan dikenali sebagai Manila Accord ditandatangani pada 31 Julai 1963 di mana Filipina dan Indonesia menyatakan persetujuan untuk menyokong gagasan Malaysia jika mendapat sokongan daripada penduduk-penduduk di kedua-dua negeri tersebut dan sokongan ini disahkan oleh PBB.

Susulan dari itu, sebuah misi PBB dilantik untuk meninjau pendapat penduduk di wilayah Borneo mengenai gagasan Malaysia. Namun misi ini tidak dapat menyiapkan laporannya sebelum 31 Ogos 1963 disebabkan kelewatan penyertaan wakil-wakil dari Indonesia dan Filipina. Keputusan tinjauan tersebut mengesahkan majoriti penduduk di Borneo menerima kemasukan ke dalam Malaysia. Namun begitu, bantahan masih tetap diterima daripada Filipina dan Indonesia. Di sebalik liku-liku yang dihadapi, Malaysia dirasmikan pada 16 September 1963 dalam satu upacara gemilang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Borneo Utara juga kini dikenali sebagai Sabah.

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6  7