Dato'Seri (DR.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria Dato'Seri (DR.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria

Tokoh Majlis Pengkisahan Sejarah Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar 1922-2000
Dato' Seri (DR.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria


   Dato' Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria dilahirkan pada 8 April 1939 di Parit Buntar, Perak. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Kedah, Parit Buntar, Perak dan melanjutkan pelajaran menengah di Anglo Chinese School, Parit Buntar, Perak dan seterusnya ke Madrasah Idrisiah dalam tahun 1959 sewaktu berumur 17 tahun. Waktu itu Sheikh Zubair menjadi Mudir manakala Ustaz Salleh Billah sebagai Naib Mudirnya. Disebabkan oleh sifat kepimpinan beliau, pihak Mudir madrasah telah melantik beliau sebagai Ketua Umum Madrasah yang diberi tanggungjawab mengawas disiplin pelajar dan menjadi wakil pelajar. Sewaktu era beliau menjadi pelajar, disiplin amat ketat dan Sheikh Zubair sewaktu itu sememangnya tegas dan tidak mudah berkompromi dalam soal disiplin dan pelanggaran syarat. Sesiapa yang tidak sembahyang berjemaah di masjid akan dihukum dan sebagainya. Pada setiap hari Khamis, pelajar-pelajar dilatih bersyarah untuk persediaan mereka menjadi Dai' (pendakwah).

  Beliau menyemai program diskusi ilmiah dan mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan. Matapelajaran yang beliau minati ialah ilmu faraid. Pada waktu itu, berlakunya mogok pelajar beberapa kali dan beliau selaku wakil pelajar-pelajar telah berunding dengan pihak Mudir yang diwakili oleh Ustaz Nawawi menyebabkan beberapa pelajar dibuang sekolah. Beliau telah dituduh melaporkan hal mogok itu serta menjadi mangsa ketidakpuashatian pelajar-pelajar lain menyebabkan beliau akhirnya memohon meninggalkan Idrisiah untuk menyambung pelajaran ke Sekolah Agama Al Attas di Johor Bharu, di mana beliau sepatutnya menamatkan pelajaran sehingga Darjah Tujuh tetapi hanya sempat hingga darjah lima sahaja di Idrisiah kerana masalah tersebut.

  Beliau akhirnya menyambung pelajaran ke Kolej Islam Malaysia Klang dalam tahun 2 dan mendapat Sijil Tertinggi Kolej dan Diploma Pendidikan. Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas di Cawangan Khas, Kementerian Dalam Negeri dari tahun 1964 hingga 1967 dan menjadi kadi di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang hingga 1973. Seterusnya, beliau menjawat jawatan sebagai Pensyarah sambilan di Maktab Perguruan Persekutuan Gelugor, Pulau Pinang (1968-1978) dan Pensyarah sambilan di Sekolah Latihan Pergigian Pulau Pinang (1970-1984). Mula berkhidmat di Jabatan Agama Islam Perak sebagai Mufti Negeri Perak mulai tahun 1985 hingga sekarang. Kerana jasa dan sumbangan beliau, pihak Kerajaan Negeri Perak telah menganugerahkan beliau beberapa pingat kebesaran negeri iaitu SPMP dan PPMP serta Kerajaan Persekutuan telah menganugerahkan pingat JSM yang membawa gelaran Datuk. Selain itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menganugerahkan pingat AMN, PKT dan PJK kepada beliau.

Tokoh Majlis Pengkisahan Sejarah Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar 1922-2000
31 March 2001
Dewan Utama Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar