Dato'Seri Yuen Yuet Leng Dato'Seri Yuen Yuet Leng

  YBhg. Dato' Seri Yuen Yuet Leng telah dilahirkan pada 15 September 1927. Beliau mendapat pendidikan sehingga Senior Cambridge dan disamping itu juga beliau mempelajari Bahasa Malaysia (Jawi) dan Bahasa Jepun.

  Dato' Seri Yuen, mula menceburkan diri dalam Pasukan Polis pada tahun 1950 sebagai Inspektor Pelatih, yang mana sebelum ini beliau pernah bertugas dengan Keretapi Tanah Melayu dan sebagai guru di Negeri Sembilan. Setelah tamat latihan di Polis Depoh, Kuala Lumpur pada tahun 1951, beliau telah ditugaskan di Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis, Seremban. Pada ketika itu, beliau dihantar ke Sik, Grik dan Chemor menjalani latihan dan pada 1952, beliau telah disahkan dalam jawatan. Kemudian beliau ditugaskan sebagai Pegawai Cawangan Khas Daerah Grik.

  Setelah berada di Grik selama 3 tahun, beliau ditukarkan ke Ipoh, Perak dan dinaikkan pangkat kepada Penolong Penguasa Polis pada 1957. Disamping itu, beliau juga ditugaskan sebagai Pegawai Cawangan Khas Daerah Sungai Utara. Memandangkan kebolehan beliau di dalam menjalankan tugas-tugas tersebut pada 1961, Dato' Seri Yuen telah dilantik sebagai Timbalan Penguasa Polis. Pada masa yang sama juga beliau telah mengikuti Kursus Undang-undang dan Bahasa Melayu di Maktab Polis, Kuala Kubu Bahru.

   Dengan pengalaman yang begitu luas terutama dalam memerangi keganasan komunis, Pada tahun 1963, beliau telah ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis, Kuala Lumpur dan ditempatkan di Cawangan Khas. Untuk mempertingkatkan pengetahuan dan pengalaman bersesuaian dengan tugas ini, beliau telah dihantar mengikuti kursus ‘MTS Advanced Intelligence Operation' di London. Kemudian pada 1967, beliau dilantik pula sebagai Penguasa Polis dan diikuti pada 1970 sebagai Penolong Pesuruhanjaya Polis.

  Kemahiran dan pengalaman beliau dalam mengatur taktik dan strategi memerangi komunis begitu dipercayai bila mana pada 1971, beliau ditukarkan ke Kuching, Sarawak dan memegang jawatan sebagai Pemangku Ketua Cawangan Khas Sarawak dan pada 1972 dilantik pula sebagai Ketua Cawangan Khas, Rajang Security Command di Sibu. Setelah beberapa tahun di Sarawak, beliau ditempatkan semula di Ibu Pejabat Polis, Kuala Lumpur dan kali ini dilantik sebagai Penolong Pengarah Cawangan Khas serta dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis. Pada tahun ini juga, beliau telah dihantar ke luar negeri mengikuti beberapa kursus antaranya ‘International Terrorism Seminar & Course di CIA', Washington, ‘Advanced Psychological Warfare di United Kingdom dan Attachment with Security Service' di Belfast, Ireland.

   Berikutan pembunuhan Encik Khoo Chong Kong oleh Komunis pada 1975, Dato' Seri Yuen telah dihantar ke Perak dan mengambil alih tugas sebagai Ketua Polis Perak. Dalam masa lima tahun, beliau berjaya menumpaskan keganasan komunis dan melemahkan Parti Komunis Malaya dari beroperasi di kawasan bandar. Penglibatan beliau dalam bidang kepolisan selama 33 tahun 9 bulan ini telah menjadikan beliau seorang pegawai polis yang terkenal dan ditakuti serta disegani oleh pengganas-pengganas komunis dan penjenayah. Bagi menghargai jasa-jasa dan bakti yang dicurahkan kepada negara, Dato' Seri Yuen Yuet Leng telah dianugerahkan dengan pelbagai pingat kebesaran antaranya:

  1. Commissioner's Commedation for Merit, 1954
  2. Colonial Police Medal, 1957
  3. Ahli Mangku Negara, 1959
  4. Kesatria Mangku Sarawak, 1972
  5. Pingat Bintang Sarawak, 1972
  6. Pingat Perkhidmatan Cemerlang, Sarawak, 1974
  7. Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) (Perak) 1977
  8. Johan Mangku Bintang, Sarawak (PNBS) (Datuk) 1978
  9. Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) (Dato' Seri) 1979


Tokoh Siri Pengkisahan Sejarah -Darurat 1948-1960 sesi 1
18 November 1992
Arkib Negara Malaysia