Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar

  Dilahirkan pada 1 November 1952 di Kampung Bandar Hilir, Melaka, Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff bin Abu Bakar merupakan tokoh budaya, akademik, bekas pemimpin politik dan belia yang aktif dan komited. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Ujong Pasir dari tahun 1959 hingga 1964 dan meneruskan pelajaran menengahnya di Sekolah Menengah Tun Mutahir, Batu Berendam (dahulu dikenali sebagai Anglo Chinese School) pada tahun 1965 hingga 1967. Setelah lulus Sijil Rendah Pelajaran Malaysia pada tahun 1967, beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Munshi Abdullah, Batu Berendam pada tahun 1968 hingga 1971.

  Setelah mendapat kelulusan yang baik dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun 1971, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera (dengan kepujian) pada tahun 1975. Seterusnya beliau meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana pada tahun 1980. Beliau dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1997. Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff memulakan kerjaya di Universiti Malaya sebagai tutor di Jabatan Sejarah pada tahun 1975 hingga 1980. Kemudian beliau menjadi Pensyarah Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif, Jabatan Pengajian Melayu (1980-1987), Profesor Madya di Jabatan Pengajian Media (1989), Ketua Jabatan Penulisan (1987-1991) dan Ketua Jabatan Pengajian Media (1997-2001), manakala pada 12 Oktober 2001, beliau dilantik sebagai Profesor.

  Beliau juga pernah bergiat aktif dalam bidang politik dengan menjadi Ketua UMNO Cawangan Bandar Hilir, Melaka pada 1982 hingga 1987, Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Kota Melaka (1984-1986), Setiausaha Biro Kebudayaan Pemuda UMNO Malaysia serta Ahli Jawatankuasa Kerja Biro Kebudayaan dan Pendidikan UMNO Malaysia (1984-1988).

  Selain daripada kegiatan politik, beliau juga berminat dalam kerjaya sukarela sama ada di peringkat kebangsaan atau negeri Melaka. Antaranya, beliau menyertai Pertubuhan Lembaga Bahasa Melayu Melaka sejak tahun 1970an dan dilantik sebagai Ketua 2 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) sejak tahun 1990. Beliau juga merupakan tenaga penting dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Pergerakan Belia MAYC Kebangsaan dan pernah dipilih menjadi Naib Pengerusi MAYC Negeri Melaka dari tahun 1993 hingga 1998.

  Sejak tahun 1980an, beliau dilantik oleh Kerajaan Negeri Melaka sebagai Ahli Lembaga Perbadanan Muzium Melaka, Ahli Lembaga Pengarah, Perbadanan Perpustakaan Melaka dan Ahli Lembaga Pengarah, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia serta Pengerusi, Institut Seni Malaysia Melaka (2000). Malah beliau juga diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk merancang dan membina konsep Melaka Bandaraya Bersejarah Negeri Berbudaya pada tahun 1995.

  Bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau, Kerajaan Negeri Melaka telah menganugerahkan Bintang Cemerlang Melaka (BCM) pada tahun 1993 dan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1995.

 

Tokoh Majlis Pengkisahan Sejarah Media Massa ‘Media-Pemangkin Kemerdekaan'
16 Ogos 2007
Arkib Negara Malaysia