Datuk Lily Abdul Majeed Datuk Lily Abdul Majeed

 YBhg. Datuk Lily Abdul Majeed dilahirkan di Kuala Lumpur pada 14 Mac 1921. Beliau telah berumahtangga dengan Allahyarham Tuan Haji Mohd Salleh bin Ahmad, bekas Timbalan Ketua Nazir Sekolah-sekolah Malaysia dan mempunyai anak iaitu Ahmad Nizam.

 Alam pendidikan Puan Lily Majeed bermula di Sekolah Kampung Bahru, Kuala Lumpur di antara tahun-tahun 1927 hingga tahun 1931. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur hingga lulus Senior Cambridge dalam tahun 1939. Semasa perang dunia kedua, pelajaran beliau di Normal Class (English) terbantut, tapi dapat disambung semula selepas tamat perang. Seterusnya beliau mengikuti kursus Perguruan di Techer's Training College, United Kingdom daripada tahun 1951 hingga tahun 1953. Dalam tahun 1954 beliau mendapat "Diploma in Child Development" dari Institute of Education London University, England.

 Tugas beliau sebagai guru bermula di Sekolah Convent dalam tahun 1940-1941 dan apabila meletusnya Perang Dunia Kedua, beliau terus berkhidmat di Jabatan Pelajaran Selangor. Di antara tahun 1946-1949, beliau bekerja di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka dan daripada tahun 1949 hingga 1951 beliau menjadi Penyelia Sekolah-sekolah Melayu, Selangor. Dalam tahun 1954 hingga tahun 1957 beliau bertugas sebagai Penyelia Sekolah-sekolah Inggeris Negeri Sembilan. Dalam tahun 1958 beliau dilantik sebagai Nazir Sekolah-sekolah Persekutuan Tanah Melayu. Dalam tahun 1961 beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Latihan Perguruan di Kementerian Pelajaran dan jawatan ini dipegang sehingga beliau bersara dalam tahun 1972. Puan Lily Majeed adalah wanita pertama dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda yang Di Pertuan Agong menjadi ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dalam tahun 1972. Beliau juga wanita yang pertama dilantik menjadi ahli Majlis Universiti Malaya iaitu daripada tahun 1972 hingga 1976. Beliau juga menjadi ahli Majlis Universiti Kebangsaan Malaysia dalam tahun 1977 hingga 1979 dan daripada tahun 1980 menjadi ahli jemaah (Court) universiti yang sama.

 Puan Lily Majeed banyak membuat sumbangan di dalam pergerakan pertubuhan-pertubuhan sukarela untuk kebajikan masyarakat. Di antara tahun 1931-1957, Puan Lily Majeed pernah memegang berbagai-bagai jawatan di dalam Pergerakan Pandu Puteri. Daripada menjadi seorang Pandu Puteri beliau dilantik sebagai Kapten Pandu Puteri, Penolong Pesuruhjaya "Commissioner Malay Guiding" dan akhirnya menjadi "Deputy Chief Commissioner Malaya" dalam tahun 1955-1957. Selain daripada Pandu Puteri beliau juga giat dalam beberapa pertubuhan-pertubuhan lain iaitu sebagai ahli Jawatankuasa dan Wakil Kementerian Kebajikan Pelajaran dalam Majlis Perkumpulan Perempuan (WI) dalam tahun 1962-1972. Penglibatan beliau dengan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam bermula dalam tahun  1965 sebagai ahli Jawatankuasa. Semenjak tahun 1969 hingga sekarang beliau adalah sebagai Setiausaha Kehormat Lembaga Kebajikan Perempuan  Islam. Puan Lily Majeed juga pernah menjadi jawatankuasa dalam berbagai pertubuhan sukarela dan kemasyarakatan lain dari masa ke semasa. Melalui pertubuhan-pertubuhan ini, beliau sering di undang untuk memberi ceramah mengenai pendidikan dan kemasyarakatan di merata-rata tempat di Malaysia.

 Di antara tahun 1962, Puan Lily Majeed menghadiri berbagai persidangan, mesyuarat dan seminar mengenai pelajaran selaku wakil Kementerian Pelajaran di dalam dan luar negara termasuklah di New Delhi, Bangkok, Tokyo, Manila, Amerika Syarikat, Moscow, Teheran dan lain-lain. Beliau pernah mengikuti kursus khas untuk nadzir-nadzir sekolah di England dalam tahun 1957-1958. Beliau telah di undang menghadiri seminar kerja-kerja sosial dan kebajikan di Amerika Syarikat, England, Neverland, Iraq, Indonesia dan lain-lain.

 Beliau telah membuat sumbangan yang besar terhadap pergerakan Pandu Puteri di Malaysia dan diberi penghormatan oleh Persatuan Pandu Puteri Sedunia dengan mendapat Merit Tertinggi dalam tahun 1948. Beliau adalah penggerak utama di dalam penganjuran Muktamar Pertubuhan Perempuan-perempuan Islam dan telah menjadi Setiausaha Muktamar tersebut tiap-tiap kali dianjurkan. Kerja-kerja beliau dalam bidang pelajaran, kebajikan masyarakat dan pendidikan amnya.

 Sumbangan dan jasa beliau telah dihargai oleh kerajaan dan dikurniakan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) dalam tahun 1970, Bintang Johan Mangku Negara (JMN) oleh Duli Yang Maha Mulia  Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong pada tahun 1987 dan Darjah Panglima Setia Diraja yang membawa gelaran Datuk.

Siri Pengkisahan Sejarah-Wanita Di Dalam Sejarah Malaysia
15 Mac 1986
Arkib Negara Malaysia.