Datuk Mazidah Zakaria Datuk Mazidah Zakaria

 Berasal dari negeri Perak Darul Ridzuan. Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya, Kuala Lumpur sehingga tahun 1985 sebelum dilantik menjadi Senator Dewan Negara Malaysia dari 15 Februari 1986 sehingga Oktober 1990. Selain bidang pendidikan dan politik, beliau juga terlibat dalam bidang perniagaan dengan pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Urban Development Authority (UDA) dan Pengerusi Sungai Wang Plaza Sdn. Bhd.

 Telah terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Perak bagi kawasan Sungai Rokam pada Oktober 1990 di bawah tiket Barisan Nasional. Kemudiannya beliau terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Perak bagi kawasan Ulu Kinta pada April 1995 dan kekal memenangi kerusi bagi kawasan tersebut pada Pilihanraya Umum tahun 1999 dan 2004. Beliau juga telah dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak pada Oktober 1990.

  Penglibatan beliau dalam Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (PERTIWI) bermula sejak awal penubuhan ini pada tahun 1967. Beliau dan Prof. Emeritus Datuk Dr. Hajah Safiah Karim yang ketika itu sama-sama bertugas sebagai Pensyarah di Universiti Malaya telah dijemput ke satu mesyuarat bagi membincangkan satu pertubuhan wanita yang baru, iaitu PERTIWI. Tertarik dengan visi pertubuhan ini, maka mereka telah bersama-sama menjadi ahli pengasas pertubuhan ini. Beliau telah dilantik menjadi Setiausaha I PERTIWI dari tahun 1967 hingga 1969 dan kemudiannya dilantik menjadi Ketua II PERTIWI pada tahun 1970.

 Selepas berbakti kepada masyarakat melalui PERTIWI, beliau kemudiannya meluaskan skop khidmatnya kepada masyarakat dan negara dengan menceburkan diri dalam politik dengan menjadi Senator dan Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Negeri Perak Darul Ridzuan.

Tokoh Majlis Pengkisahan Sejarah Penubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (PERTIWI) "Didik Wanita Terdidiklah Bangsa"
24 April 2008
Arkib Negara Malaysia