Dokumen Perisytiharan Kemerdekaan Dokumen Perisytiharan Kemerdekaan

Artikel Sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-56
Dokumen "Perisytiharan Kemerdekaan" Bukti Negara Merdeka Dan Berdaulat


Setiap kali membicarakan tentang kemerdekaan, pastinya nama YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj akan turut dibicarakan. Sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, sesungguhnya YTM Tunku dan Kemerdekaan adalah begitu sinonim. Segala jasa, sumbangan dan pengorbanan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama tidak akan dapat dilupakan. Kegigihan, keazaman dan pengorbanan YTM Tunku dalam mengusahakan jalan untuk mencapai kemerdekaan patut diingati dan dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sejak dari awal lagi pendekatan YTM Tunku untuk mendapatkan kemerdekaan adalah melalui rundingan dengan pihak British kerana YTM Tunku tidak mahu setitik darahpun mengalir dalam memperjuangkan kemerdekaan ini. Ternyata langkah yang diambil beserta dengan kebijaksanaan YTM Tunku akhirnya usaha mendapatkan kemerdekaan telah berjaya diperolehi.

Mengenang kembali sepintas lalu detik bersejarah Negara diisytiharkan merdeka semuanya bermula dari tarikh 1 Januari 1956, di mana rombongan kemerdekaan yang terdiri daripada 5 orang wakil kerajaan Persekutuan yang di ketuai oleh YTM Tunku telah berangkat ke London bagi menuntut kemerdekaan daripada pemerintahan British. Misi yang dibawa oleh rombongan ini nyata tidak menghampakan harapan rakyat ketika itu kerana pada 6 Februari 1956 pemerintah British telah bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Pada 8 Februari 1956 perjanjian kemerdekaan telah ditandatangani oleh YTM Tunku dengan Setiausaha Jajahan British, Mr. Allan Lennox-Boyd.

Kejayaan rombongan ini telah tersebar ke seluruh pelusuk Negara melalui corong-corong radio dan seluruh rakyat ketika itu tidak sabar-sabar menanti kepulangan rombongan ini. Pada 20 Februari 1956, rombongan kemerdekaan telah tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka dan disambut oleh lebih kurang 1000 orang perwakilan UMNO, MCA dan MIC. Dari Lapangan Terbang Batu Beremdam, rombongan ini seterusnya diarak ke Padang Pahlawan, Bandar Hilir Melaka di mana disinilah YTM Tunku memberi ucapan dan membaca pengisytiharan tarikh kemerdekaan negara yang jatuh pada 31 Ogos 1957. Pengisytiharan tarikh keramat ini telah disambut dengan laungan "Merdeka" oleh lebih kurang 100,000 orang yang datang dari seluruh pelusuk negara tanpa mengira bangsa, keturunan, jantina, dan usia.

Bertitik tolak dari ini, pelbagai persiapan dan persediaan dibuat bagi meraikan ketibaan tarikh bersejarah tersebut. Salah satu daripada persiapan penting ialah penyediaan Dokumen Perisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu, iaitu dokumen khazanah negara yang tiada nilai dan gantinya. Dokumen ini berukuran 71.9cm x 49.6cm yang di perbuat dari kulit kambing. Ia adalah dokumen penting negara yang menjadi tonggak dan asas kepada struktur dan pentadbiran sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat berpaksikan kepada sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang berperlembagaan berdasarkan demokrasi cara berparlimen.

Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-56 ini, Arkib Negara Malaysia ingin menguar-uarkan serta berkongsi dengan seluruh rakyat Malaysia kandungan teks Pemasyhuran Kemerdekaan yang dibacakan oleh YTM Tunku pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka. Sebagai rakyat Malaysia yang sejati, seharusnyalah kita mengenali dokumen penting ini serta sama-sama mengetahui, memahami dan menghayati kandungan pemasyhuran tersebut yang menjadi kebanggaan serta bukti kepada terbentuknya sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Dokumen ini adalah detik bermulanya penubuhan Persekutuan Tanah Melayu sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Mukasurat: 1  2  3  4