Encik Aloysius Chin Encik Aloysius Chin

Encik Aloysius Chin, anak jati Kuala Lumpur telah dilahirkan pada 13 Oktober 1927. Beliau mendapat pendidikan awal dan menengah di Sekolah St. John dan terpaksa berhenti apabila Jepun menawan Tanah Melayu pada tahun 1941. Setelah perang tamat, beliau telah memasuki pasukan polis pada bulan Februari 1946, ketika itu beliau berusia 19 tahun.

  Setelah tamat latihan pada tahun 1950, beliau telah disahkan sebagai inspektor dan telah ditugaskan di Kota Tinggi, Johor dalam ‘Jungle Squard' yang mempunyai 10 orang anggota. Pada masa ini, beliau dan pasukannya terpaksa memerangi pengganas komunis yang jauh lebih ramai dari mereka. Di samping mengawasi bandar Kota Tinggi, beliau juga terpaksa mengawasi dan memerangi pengganas Komunis sehingga ke Kulai dan Pengerang.
Sepanjang 38 tahun perkhidmatan beliau dengan Pasukan Polis Diraja Malaysia, beliau telah bertugas di pelbagai cawangan di semua peringkat sama ada daerah, negeri dan ibu pejabat. Selama tempoh tersebut, 30 tahun beliau habiskan dengan bertugas di Cawangan Khas di mana tugas utamanya mengkaji dan memerangi keganasan dan kegiatan komunis di Tanah Melayu/ Malaysia.

  Sebagai Ketua Cawangan Khas Kedah/Perlis dari Januari 1970 hingga Disember 1971, beliau bukan saja dipertanggungjawab mengawasi pegawai  dan kakitangan, Cawangan Khas Malaysia di Selatan Thai dan ‘Regional Border Committee Office' di Songkhla tetapi juga sebagai ‘Co-ordinated Intelligence' untuk mendapatkan maklumat mengenai  kegiatan-kegiatan Parti Komunis Malaya dan Malayan National Liberation Army di Selatan Thai dan negeri-negeri di Utara Semenanjung. Di samping itu juga beliau berhubung rapat dengan pelbagai agensi perisikan  keselamatan Thai dalam memerangi  keganasan yang dilakukan oleh PKM (Parti Komunis Malaya).
Pada tahun 1982, beliau telah bersara secara rasmi, tetapi oleh kerana tenaga dan usaha beliau masih diperlukan, pada 1983 beliau telah dilantik semula secara kontrak selama  dua tahun dan ditugaskan di Cawangan Khas (Operasi) sebagai Timbalan Pengarah berpangkat Penolong Kanan Pesuruh Jaya Kanan Polis I.

  Setelah bersara pada tahun 1985, Encik Chin memasuki syarikat keselamatan iaitu Aman Security Services - Investigators and Consultant Sdn. Bhd. Sebagai ‘General Manager'. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Emily Ah dan mempunyai 8 orang anak.

Tokoh Siri Pengkisahan Sejarah- Darurat 1948-1960 sesi 1
18 November 1992
Arkib Negara Malaysia