Encik Bernard Bong Encik Bernard Bong

 

 Dilahirkan pada 1 Disember 1962 di Jelebu, Negeri Sembilan. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Maxwell dan terpaksa menamatkan pelajaran di Tingkatan Dua kerana kemiskinan keluarga. Beliau membantu bapanya di stesen minyak, menjual surat khabar dan sebelah malam pula mengambil upah sebagai pembantu tukang jahit sambilan. Namun, sebagai anak sulung, Bernard berusaha memperbaiki taraf kehidupan keluarganya dengan belajar menjahit daripada majikannya.

Beliau begitu gigih berusaha sehinggalah pada tahun 1979 beliau berkongsi membuka kedai jahit yang dinamakan ‘Apache' bersama majikannya berhampiran Kompleks Campbell di Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur. Dua tahun kemudian beliau menjadi pemilik tunggal kedai tersebut. Bernard memperluaskan perniagaannya dengan menceburi bidang perusahaan tekstil tetapi mengalami kemerosotan akibat kegawatan ekonomi pada tahun 1985. Namun, beliau bangkit semula dan mengembangkan perniagaannya dari sebuah bengkel kecil kepada sebuah kilang pakaian yang dikenali sebagai Kha Seng Textiles. Beliau juga memiliki kilang tekstil di seluruh negara, Filipina dan China.

Setelah ekonomi negara pulih, beliau membabitkan diri dalam sektor pelaburan harta tanah. Pada tahun 2004, beliau mengambil alih pengurusan Pasar Budaya daripada Melewar Leisure Sdn. Bhd. melalui Pengurusan Danaharta Nasional Berhad (Danaharta).

Bernard merupakan Setiausaha Agung Persatuan Pengilang Tekstil Kuala Lumpur dan Bendahari Persatuan Pengilang Tekstil Malaysia.


Majlis Pengkisahan Sejarah Pasar Budaya (Central Market)
21 Mac 2006
Arkib Negara Malaysia