Encik Chen Voon Fee Encik Chen Voon Fee

 Chen Voon Fee mendapat pendidikan di School of Architecture, University of Manchester pada tahun 1952-1954, Architectural Association School of Architecture, London (1954-1957), A.A. Diploma (1957), A.R.I.B.A (1959) dan P.A.M. 1967.

 Beliau membuka firma perkongsian swasta dari tahun 1960 hingga 1970-an dan konsultasi perseorangan dari tahun 1982. Projek-projek yang dibina semasa dalam firma perkongsian adalah seperti Dewan Persidangan Singapura/Trade Union Congress (1961-1963), Masjid Negeri, Negeri Sembilan (1963-1967), Kelab Malaya (1966-1968), bangunan tambahan Fakulti Sastera, Universiti Malaya (1969-1971) dan dewan utama, perpustakaan dan dewan kuliah Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (1972-1978).

 Beliau juga merupakan salah seorang pengasas bagi kumpulan pemeliharaan Malaysia, Badan Warisan Malaysia pada tahun 1982, Ahli Majlis dan Timbalan Presiden sehingga 1995.

 Selain daripada itu, beliau juga terlibat dalam memastikan pemeliharaan dan pengubahsuaian semula bangunan seperti Central Market (Pasar Budaya) (1985-1986) dan Central Square Kuala Lumpur (1987-1989) bersama William Lim Associates dan memenangi PAM Award for Commercial Buildings pada tahun 1991, Balai Seni Lukis Negara (1987-1988) dan memenangi PAM Award for Conservation & Adaptive Reuse pada tahun 1991, mengubah suai bangunan Anglo-Oriental kepada Mahkota College (kini dikenali sebagai EKRAN) pada tahun 1986-1988 dan Bamboo House, Kuala Lumpur yang juga memenangi PAM Jurors' Award for Conservation pada tahun 1995.

 Beliau juga merupakan konsultan seni bina bagi Muzium Negara dan Muzium Negeri Selangor dalam projek pemeliharaannya pada tahun 1990-an.

 Selain daripada itu, beliau juga merupakan pensyarah di Department of Architecture & Building Science, University of Strathclyde (1971-1972), Fakulti Pembangunan Persekitaran, Universiti Teknologi Malaysia, Tutor dan pemeriksa luar (external tutor and examiner) pada tahun 1970-1980-an.

 Beliau juga merupakan penyunting buku Encyclopedia of Malaysia, penulis buku Kuala Lumpur - A Sketchbook, Penang Sketchbook dan Landmarks of Selangor yang dilukis dengan menggunakan cat air oleh artis Chin Kon Yit.

Majlis Pengkisahan Sejarah Pasar Budaya (Central Market)
21 Mac 2006
Arkib Negara Malaysia