Getir Perjuangan Kemerdekaan Getir Perjuangan Kemerdekaan

Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 merupakan saat bermulanya penentangan orang Melayu terhadap penjajahan kuasa luar.  Selepas Belanda mengalahkan Portugis dan menduduki Melaka pada tahun 1641, perjuangan menentang penjajah oleh pemerintah dan rakyat tempatan berterusan seperti yang berlaku di Naning, Kuala Perak, Riau dan Kuala Selangor. Pada ketika ini, lahirlah tokoh seperti Raja Haji yang bangun berjuang dalam tahun 1784 menentang Belanda sehingga beliau akhirnya terkorban di Telok Ketapang.

Kehadiran British ke Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1786 telah menyemarakkan lagi usaha penentangan orang Melayu terhadap penjajah terutama apabila British mula mencampuri urusan pentadbiran tempatan. Penentangan bukan sahaja berlaku di Semenanjung Tanah Melayu malah juga di Sabah dan Sarawak. Kebangkitan gerakan anti-British memperlihatkan gelombang penentangan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh tempatan seperti Penghulu Dol Said di Naning, Datuk Siamang Gagap di Seri Menanti dan Yamtuan Tunku Antah di Sungai Ujong, Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor dan Sultan Abdullah di Perak, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Raja Mahadi di Selangor, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Moris, Tunku Kudin dan Tunku Muhammad Saad di Kedah, Rentap, Roslie Dhoby dan Sharif Mashor di Sarawak serta Mat Salleh, Antanum, Pak Musa dan Syarip Usman di Sabah. Walaupun penentangan mereka berakhir dengan kegagalan namun semangat juang mereka untuk mengembalikan hak dan kedaulatan tanah air wajar disanjung.

Gelombang pertama seawal abad ke-20 menyaksikan pertukaran wacana penentangan terhadap kuasa asing dengan menggunakan mata pena. Arus kebangkitan nasionalisme pada peringkat awal dipelopori oleh tokoh-tokoh lepasan pengajian tinggi di Timur Tengah sekitar abad ke-20. Antaranya, Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Al-Hadi, Sheik Muhammad Akil, Sheikh Awad Saidin dan Haji Abas Taha. Pelbagai akhbar dan majalah seperti Al-Imam, Neracha, Warta Malaya, Al-Ikhwan, Saudara dan lain-lain telah diterbitkan.

Kemunculan tokoh-tokoh agama ini diikuti pula oleh beberapa orang tokoh dari kalangan guru, wartawan serta pejuang bahasa dan sastera seperti Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), Harun Muhammad Amin, Abdul Hadi bin Hassan, Burhanuddin Al-Helmi dan Abdul Rahim Kajai. Dalam perkembangan seterusnya menyaksikan beberapa buah parti politik dan persatuan yang ditubuhkan bagi melahirkan gerakan penentangan yang lebih bersepadu.

Serangan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada bulan Disember 1941 dan pendudukan Jepun secara keseluruhannya di Tanah Melayu bermula Februari 1942 hingga September 1945 telah meninggalkan kesan dan pengalaman yang pahit kepada seluruh penduduk di negara ini. Mereka menjadi lebih peka dan sedar terhadap persekitaran dan perkembangan yang berlaku. Jepun turut menyemaikan semangat nasionalisme di kalangan penduduk Tanah Melayu supaya membenci British melalui cerapan ideologi ’Asia Untuk Asia’.

Mukasurat: 1  2