Haji Ariffin Bin Ibrahim Haji Ariffin Bin Ibrahim

  Haji Ariffin bin Ibrahim dilahirkan pada 10 Oktober 1926 di Bukit Koman, Raub, Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Raub sehingga Darjah Enam. Persekolahannya terhenti apabila Jepun mula menyerang dan mengusai Tanah Melayu. Beliau pernah menjadi buruh paksa bagi menyiapkan jalan keretapi Siam (Thailand) ke Burma.

  Haji Ariffin telah menjadi buruh paksa selama dua tahun lebih sebelum dihantar pulang kerana menghidap penyakit kulit. Setelah berubat dan sembuh beliau telah menjadi anggota pasukan sukarela (Giyutai) selepas mengikuti latihan selama tiga bulan. Beliau kemudiannya menjadi tentera sukarela (Giyugun) setelah menerima latihan selama enam bulan di Ipoh. Selepas dibuat tapisan beliau ditempatkan di bahagian wireless di Rantau Panjang, Singapura.

  Apabila Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua, beliau pulang ke Raub dan bekerja di lombong emas Raub Australian Gold Mining (RAGM). Semasa Darurat beliau telah berkhidmat sebagai Special Constabulary (SC) selama lima tahun. Berhenti dari SC, beliau mengikuti kursus mekanik selama enam bulan di Pulau Pinang.

  Haji Ariffin kemudiannya telah berkhidmat dengan Lembaga Letrik Negara sebagai buruh pertukangan dari tahun 1954 dan bersara pada 1981 sebagai Officer In Charge di Bentong, Pahang.

Tokoh Pengkisahan Sejarah Buruh Paksa Di Zaman Jepun
14 Oktober 1999
Arkib Negara Malaysia