Haji Salleh bin Haji Abdul Hamid Haji Salleh bin Haji Abdul Hamid

Haji Salleh dilahirkan pada 10.10.1919 di Tanjung  Piandang, Perak. Beliau telah dibesarkan di Singapura kerana bapanya pada masa itu telah berhijrah ke sana. Beliau  memasuki Sekolah Melayu Rocho di Singapura, dan kemudian beliau memasuki Sekolah Inggeris iaitu Victoria Bridge School, Singapura. Setelah tamat persekolahannya beliau telah memilih untuk berkhidmat dalam pasukan polis.

Haji Salleh telah menceburi kerjaya polis pada tahun 1936 ketika berusia 18 tahun. Beliau kemudiannya telah dihantar untuk menjalani latihan asas selama satu tahun di Pusat Latihan Polis FMS (Federated Malay State) di Bluff Hill (sekarang dikenali sebagai Bukit Aman). Setelah selesai menjalani latihan, beliau telah diserapkan ke dalam Pasukan Pancaragam Polis FMS yang juga berpangkalan di Bluff Hill. Beliau kemudian bertugas di PULAPOL, Jalan Gurney.

Semasa pendudukan Jepun, beliau telah bertugas sebagai Polis Jepun dengan pangkat Keibu-Ho No.28 dan bertugas di Kuala Lumpur. Setelah Jepun menyerah diri dalam tahun 1945, beliau menyambung kerjayanya dalam pasukan polis di Tanah Melayu. Pada September 1948, beliau telah dinaikkan pangkat kepada  Lans Koperal dan pada bulan Disember tahun yang sama beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Koperal. Pada tahun 1951, Haji Salleh telah dinaikkan pula ke pangkat Sarjan. 

Haji Salleh mempunyai pengalaman yang luas dalam kerjaya polis. Beliau dan kumpulannya pernah diserang hendap oleh pengganas komunis semasa membuat rondaan dari Teluk Intan ke Langkap semasa darurat pada tahun 1948 di mana seorang anggotanya terkorban. Semasa berkhidmat dalam pasukan polis Haji Salleh telah menyelesaikan berbagai kes jenayah yang melibatkan penjenayah-penjenayah yang ditakuti dan amat dikehendaki oleh polis.

Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan beliau kepada pasukan polis, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Inspektor dalam tahun 1957. Beliau juga telah menerima beberapa pingat kepujian bagi menghargai jasa-jasa yang telah disumbangkan. Antaranya ialah ‘Star 1939-1945, The Pacific Star, The Defence Medal, King George IV Medal, CPM Long Service, PJK (1965), Merdeka Khidmat Berbakti dan Pingat Peringatan Malaysia (1963). Tuan Hj. Salleh telah bersara dari perkhidmatan polis  pada 10 Oktober 1974 setelah berkhidmat selama 33 tahun.

Pengkisahan Sejarah Polis Diraja Malaysia
12 Disember 1995
Arkib Negara Malaysia.