Kabinet Pertama Malaysia Kabinet Pertama Malaysia

Kembali <<

Perjanjian 1948 yang membawa kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu bagi menggantikan Malayan Union merupakan perintis kepada langkah ke arah berkerajaan sendiri. Dalam Persekutuan Tanah Melayu, tiga badan yang ditubuhkan iaitu Majlis Mesyuarat Eksekutif , Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan dan Majlis Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa di peringkat pusat.

Majlis Perundangan Persekutuan yang baru bertindak sebagai  badan perundangan bagi sembilan buah negeri di Tanah Melayu beserta Pulau Pinang dan Melaka. Dengan mempunyai majoriti ahli tidak rasmi, Majlis ini telah menjadi pembuka jalan kepada pengenalan sistem pilihanraya di negara ini. Bermula tahun 1951, pilihanraya-pilihanraya bandaran telah diadakan dan sekaligus memberi peluang kepada parti-parti politik tempatan memperoleh kerusi dalam majlis-majlis  tempatan.

Pada April 1951, Sistem Ahli atau Member System diperkenalkan oleh British sebagai mekanisme yang menyediakan peluang dan latihan kepada elit-elit tempatan mentadbir negara. Di bawah sistem ini, ahli-ahli dilantik untuk bertanggungjawab ke atas portfolio tertentu seperti Ahli Hal Ehwal Dalam Negeri. Namun begitu, kuasa eksekutif dan kawalan politik masih terletak di tangan pegawai-pegawai tertinggi British seperti Pesuruhjaya Tinggi, Ketua Setiausaha, Peguam Negara dan Setiausaha Kewangan.

Pelbagai usaha dan desakan dibuat oleh Parti Perikatan untuk menuntut kerajaan sendiri. Usaha ini akhirnya berjaya membuahkan hasil apabila pilihanraya persekutuan yang pertama diadakan pada 27 Julai  1955. Dengan kemenangan yang dicapai Perikatan dalam pilihanraya umum tersebut, 52 daripada 98 ahli Majlis Perundangan Persekutuan kini terdiri daripada mereka yang dipilih oleh rakyat. Selebihnya 46 ahli dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Secara langsung, kerajaan Persekutuan telah berjaya dibentuk dengan dipimpin oleh rakyat tempatan sendiri.

Susulan dari itu juga, Sistem Ahli dimansuhkan dan diganti dengan Sistem Menteri.  Sebuah kabinet bagi Persekutuan Tanah Melayu dibentuk buat pertama kalinya pada 1 Ogos 1955, dua tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan. Setelah mendapat perkenan Raja-raja Melayu, 15 jemaah menteri yang menganggotai kabinet 1955 tersebut diumumkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald  MacGillivray pada 4 Ogos 1955. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dipilih sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.

Kabinet tahun 1955 ini dibarisi oleh 10 orang Menteri iaitu Ketua Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Menteri Pelajaran, Menteri Sumber Asli, Menteri Pengangkutan, Menteri Pertanian, Menteri Kesihatan, Menteri Kerja Raya, Menteri Buruh, Menteri Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar serta Menteri Pos dan  Telekomunikasi. Menteri-menteri ini dibantu oleh lima orang Timbalan Menteri dan Menteri Muda iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Timbalan Menteri Pelajaran, Menteri Muda Pertanian, Menteri Muda Kesihatan dan Menteri Muda Buruh. Selain itu, kabinet 1955 ini turut dianggotai tiga pegawai British yang memegang portfolio selaku Setiausaha Kewangan, Setiausaha Hal Ehwal Ekonomi dan Setiausaha Pertahanan. Tiga pegawai British lagi memegang jawatan penting sebagai Ketua Setiausaha, Peguam Negara dan Setiausaha Kerajaan.

Ketika negara di ambang kemerdekaan iaitu pada 28 Ogos 1957, Ketua Menteri telah mengemukakan barisan 13 Jemaah Menteri untuk diperkenankan oleh SPB Yang di-Pertuan Agong. Kabinet 1957 yang merupakan kabinet pertama dibentuk selepas merdeka ini dianggotai oleh Ketua Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Luar, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Keadilan, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Menteri Kesihatan, Menteri Pelajaran, Menteri Buruh dan Kebajikan Masyarakat, Menteri Pengangkutan, Menteri Sumber Asli, Menteri Pertanian dan Menteri Kerja Raya, Pos dan Telekomunikasi serta Menteri Tidak Berportfolio merangkap Wakil ke Pertubuhan-pertubuhan Bangsa Bersatu. Majlis mengangkat sumpah jawatan telah diadakan pada 4 Ogos 1957. Mesyuarat pertama kabinet 1957 diadakan pada 10 September 1957 dengan dipengerusikan oleh Tunku Abdul Rahman.

Semenjak itu, kabinet negara telah melalui pelbagai rombakan dan terkini kabinet negara dibarisi oleh 31 orang Menteri.