Istana Iskandariah Istana Iskandariah

Istana  Iskandariah terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan merupakan istana rasmi tempat bersemayam Sultan Perak. Terletak kira-kira 2.5 km dari Kuala Kangsar, yang dikelilingi oleh binaan-binaan yang indah-indah dan menjadi mercu tanda Bandar Diraja ini.

Kawasan perbukitan yang permai di tebing Sungai Perak yang mengalir jernih itu memaknakan lagi ketenangan dan keindahan.  Di sinilah terletaknya istana-istana ternama Negeri Perak termasuk Istana Iskandariah.  Istana ini telah dibina kira-kira dalam tahun 1930 di atas sebuah bukit yang dikenali sebagai Changkat Negara.  Ianya dibina di atas tapak Istana Negeri yang telah dirobohkan untuk diganti dengan istana yang baru ini.

Istana baru ini telah siap pada tahun 1933 dan dinamakan Istana Iskandariah, sempena nama Sultan Iskandar yang menitahkan pembinaannya. Sebelum Istana Iskandariah siap, Sultan Iskandar bersemayam untuk sementara di Istana Kenangan dan berpindah ke istana baru itu setelah ianya siap dengan sempurna.  Semenjak tahun 1933, Istana Iskandariah menjadi istana rasmi tempat bersemayam kesemua Sultan Perak yang ditabalkan menjadi Raja memerintah  negeri.

Istana Iskandariah, memperlihatkan corak seni bina yang menarik dan istimewa sekali.  Seni binanya menyerupai corak seni bina Islam - India `Saracenic' yang diadun dengan corak seni bina Asia Barat.  Keadaan ini jelas dapat dilihat pada motif gerbang tajam (pointed Arch) dan juga hiasan menara serta kubah yang berbentuk bawang (onion shapes domes).

Kewujudan corak seni bina pengaruh luar negeri ini mungkin hasil daripada pengalaman ahli-ahli seni bina Inggeris yang banyak mengetahui dan begitu terpikat dengan keindahan seni bina India-Islam. Lalu kemudian telah diperkenalkan di Tanah Melayu pada awal kurun ke-20 dengan terbinanya bangunan-bangunan seperti Masjid, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Istana Iskandariah ini.

Istana Iskandariah yang dibina menghadap arah matahari naik dan pandangannya menjangkaui ke arah Sungai Perak yang jernih. Bangunan Istana ini terdiri daripada 2 tingkat, lantai bawah dan tingkat satu dikenali sebagai Roof Lounge.  Pada tingkat bawah terdapat beberapa ruang khas yang mempunyai fungsi tertentu seperti Bilik Mengadap, Bilik Jamuan Negeri, Bilik Makan, Bilik Pejabat Juruiring dan lain-lain.  Di samping itu terdapat juga dua ruang besar yang digunakan sebagai Dewan Negara dan Dewan Muzik.

Pada tingkat pertama terdapat pula ruang-ruang seperti ruang rehat untuk putera dan puteri sultan dan ruang mainan, bilik peraduan dan lain-lain.  Untuk naik ke tingkat ini terdapat tangga dan juga lif.  Manakala tingkat kedua istana ini adalah terpenting kerana di sinilah letaknya ruang-ruang untuk Balai Nobat, Balairung Seri dan Singgahsana yang amat penting terutama pada hari-hari kebesaran, pertabalan dan lain-lain.  Selain itu di tingkat ini juga terdapat bilik-bilik persalinan dan bilik istirehat Paduka Seri Sultan. Berdasarkan keindahan seni bina ini dan sebagai istana terbesar memang tepatlah ia dijadikan istana rasmi Sultan-sultan Perak sejak tahun 1933 dahulu hinggalah sekarang.

Berhampiran dengan Istana Iskandariah ini juga terdapat istana-istana lain yang telah memainkan peranan penting dalam sejarah negeri Perak seperti Istana Kenangan yang kini dijadikan Muzium Diraja serta Istana Hulu atau dikenali juga sebagai Istana Kota.  Istana Kota kemudiannya dijadikan bangunan Sekolah Kebangsaan Kota pada tahun 1957 dan ditukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Mazwin pada tahun 1970.