Istana Maziah Istana Maziah

Istana Maziah yang terletak di pinggir Bukit Puteri berdiri megah menghala ke Laut China Selatan adalah lambang kebesaran negeri Terengganu.  Istana dua tingkat yang indah dan menarik ini merupakan istana yang bersejarah bagi negeri ini.

Istana ini dibina pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.  Mengikut catatan sejarah upacara peletakan batu asas istana ini diadakan pada tahun 1895 manakala pembinaannya dimulakan selepas itu.  Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala beberapa ketika dan akhirnya telah siap pada tahun 1903.

Sultan Zainal Abidin menitahkan pembinaan istana ini kerana untuk menggantikan istana Hijau yang terletak berhampiran Istana Maziah, dibina oleh Sultan Umar dalam tahun 1870.

Pembinaan Istana Maziah ini diketuai oleh Tengku Chik Abu Bakar seorang arkitek yang terkenal di Terengganu pada masa itu yang juga ipar kepada Sultan Zainal Abidin III.  Beliau dibantu oleh Engku Besar Paduka Raja dan Encik Muhammad bin Abdul Rahim dalam merangka pelan dan reka bentuk istana.

Urusan-urusan peralatan pertukangan dan kayu-kayan diselenggarakan oleh Tengku Besar Paduka Indera dan Tengku Besar Panglima.  Kebanyakan kayu-kayu yang digunakan bagi membina istana ini diambil dari daerah Dungun.

Tukang-tukang yang membina istana terdiri daripada 20 orang tukang mahir daripada orang-orang Melayu dan Cina.  Bagaimanapun pembinaan istana ini pernah terbengkalai beberapa ketika kerana masalah kewangan tetapi akhirnya dapat disiapkan dengan upacara istiadat `naik istana' dilangsungkan pada bulan Ogos 1903.

Walaupun telah siap tetapi pada zaman pemerintahan sultan-sultan yang kemudian Istana Maziah telah diperbaiki dan dicantikkan lagi.  Pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan Sultan Ismail Nazaruddin Shah beberapa pindaan bagi memperluaskan lagi istana ini diadakan.

Kini Istana Maziah tetap dengan keaslian bentuknya yang terpelihara dan menjadi mercu tanda penting dan bersejarah bagi bandar Kuala Terengganu.

Dari arah hadapan istana terdapat pintu gerbang yang indah yang asalnya dibina pada tahun 1887, iaitu pada masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.  Berhampiran dengan pintu gerbang ini terdapat sebuah panca persada yang dibina khas untuk upacara istiadat yang berkaitan dengannya.

Istana Maziah yang mempunyai reka bentuk dan seni bina yang menarik ini tetap menjadi warisan kemegahan bangsa serta pusaka yang tidak ternilai harganya.  Di sinilah berlangsungnya istiadat-istiadat pertabalan peristiwa-peristiwa lain yang bersejarah bagi negeri Terengganu Darul Iman.