Istana Maziah Istana Maziah

Selain tempat bersemayam baginda Yang di-Pertuan Besar, istana ini juga berfungsi sebagai tempat perjumpaan dan pengaduan daripada para pembesar dan rakyat jelata terutama pada hari-hari perjumpaan yang diadakan di balairung seri. Istana ini juga digunakan untuk upacara menghadap yang diadakan tiga tahun sekali. Pada tahun 1926. Pesuruhjaya Tinggi, Sir Lawrence Gullmard turut hadir dalam upacara itu. Walau bagaimanapun mulai tahun 1931, istana ini tidak lagi menjadi tempat bersemayam Yang di-Pertuan; sebaliknya sebuah istana yang lebih baru dan moden dibina berhampiran dengannya.

Istana ini juga pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada tahun 1959 sehingga tahun 1964. Istana ini kemudiannya dibiarkan kosong tanpa penghuni sehingga tahun 1992. Namun begitu, atas kesedaran DYMM Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, istana ini dengan rasminya diwartakan sebagai ‘Muzium DiRaja'. Perasmiannya telah dilakukan pada 14 Julai 1992 bersamaan 14 Muharram 1413 Hijrah. Pengurusan Muzium DiRaja adalah di bawah pentadbiran Muzium Negeri, Negeri Sembilan.

Mulai saat inilah Muzium DiRaja Istana Lama Seri Menanti telah bertukar wajah dengan mempamerkan koleksi-koleksi keluarga DiRaja. Setiap ruang diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut. Penambahan bahan koleksi Muzium juga dilakukan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pihak istana. Muzium ini dipelihara dengan baik sebagai warisan sejarah kebudayaan untuk tatapan generasi kini dan akan datang. Ianya akan terus berdiri tegak di bumi Seri Menanti yang menjadi saksi sejarah silam dan masa hadapan.

Mukasurat: 1  2