Istana Lama Seri Menanti Istana Lama Seri Menanti

Seri Menanti adalah sebuah kawasan yang permai dengan tanah sawahnya menghijau dan bukit-bukit tersergam memagari sekitarnya.  Keindahan kawasan ini telah menjadikannya satu kawasan petempatan dan pusat pemerintahan Raja-raja Negeri Sembilan pada masa silam. Istana-istana indah dengan ukiran-ukiran yang menarik didirikan di sini sebagai tempat bersemayam Yang di-Pertuan.

Salah satu daripada istana yang masih utuh sehingga ke hari ini ialah Istana Lama Seri Menanti.  Istana ini penuh dengan keunikan dan keindahan yang juga digelar ikon keluarga Diraja Negeri Sembilan. Istana ini masih kukuh tersergam menyaksikan arus pembangunan dan memendam segala rahsia silam.  Walaupun pembangunan pusat berlaku, tetapi ianya tetap dengan keaslian bentuknya sebagai sebuah istana yang menjadi lambang kebudayaan Melayu yang indah dan mempesonakan.

Seri Menanti dikatakan mendapat nama daripada tiga batang padi yang tumbuh di kawasan itu yang dinamakan Padi Menanti atau ‘semangat padi yang menanti'. Dalam bahasa Jawa, padi bererti `Seri', lalu ia diubah nama kepada Seri Menanti.  Di kawasan tiga batang padi ini juga dikatakan Istana Seri Menanti didirikan.

Istana setinggi empat tingkat ini pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato' Panglima Sultan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari Public Works Department  Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.

Istana Seri Menanti ini dibina bagi menggantikan Istana Pulih  yang telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya peperangan Bukit Putus. Pembinaan istana ini bermula pada tahun 1902 dan siap pada tahun 1908. Belanja bagi pembinaan istana ini ialah sebanyak $45,000. Istiadat perasmian istana ini telah disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Muhammad ibni Almarhum Yamtuan Antah.

Yang di-Pertuan Besar menginginkan reka bentuk istana yang menunjukkan dan mempunyai pertalian dengan alam Minangkabau, maka istana ini bukan sahaja sekadar menyerupai reka bentuk bangunannya tetapi juga dilengkapi dengan bahagian-bahagian yang melambangkan kekeluargaan, pendidikan, kesenian asli dan lain-lain yang mempunyai perkaitan yang erat dengan Minangkabau.

Reka bentuk Istana ini amat menarik sekali.  Ianya mempunyai empat tingkat dengan setiap tingkat mempunyai bilik-bilik tertentu.  Misalnya pada tingkat pertama istana ini terdapat empat bilik dan beranda sepanjang 160 kaki.  Manakala tingkat keduanya pula mempunyai tiga bilik dan bilik-bilik itu didiami oleh kerabat-kerabat diraja.  Pada tingkat ketiga dan keempat pula masing-masing mempunyai satu bilik.  Tingkat ketiga adalah tempat kediaman Yamtuan Muhamad manakala tingkat keempat pula adalah tempat simpanan khazanah raja.

Mengikut Datuk Besar Meon, tidak ada sepucuk paku besi pun digunakan dalam pembinaan istana ini.  Semuanya diperbuat daripada kayu dari tiang hinggalah ke atapnya dan binaannya ‘dipaku' dengan kayu yang dipanggil pasak.

Istana ini juga mempunyai tiang setinggi 19.9 meter (65 kaki) dengan empat batang tiang tengahnya setinggi 170 kaki tiada bersambung.  Pada tiang-tiang ini juga diukir dengan ukiran-ukiran yang menarik dengan berbagai-bagai motif.

Empat batang tiang tengah istana ini yang sepanjang 170 kaki tiada bersambung itu diperbuat daripada kayu `Penak'.  Kayu tersebut diambil daripada Bukit pergai di Jelebu; Kayu-kayu ini dibawa dengan kereta lembu ke Seri Menanti.  Dikatakan juga bahawa setiap batang tiang 170 kaki itu ditarik oleh tiga buah kereta lembu.

Jumlah semua tiang yang menjadi penegak pada istana ini ialah sebanyak 99 batang yang melambangkan juak-juak hulubalang Negeri Sembilan yang seramai 99 orang.  Mengikut sejarah pembinaan istana ini setiap orang juak dan hulu balang itu memegang satu tiang semasa hendak menegakkan istana tersebut.  Sementara empat batang tiang tengahnya pula melambangkan empat orang besar istana (Orang Empat Istana).

Istana ini juga ditinggikan di bahagian hujung dan pangkal, manakala di bahagian tengahnya bermahligai tiga persada. Pada bahagian-bahagian istana ini juga diukir dengan ukiran-ukiran yang menarik dan bernilai tinggi.  Ukiran-ukiran itu terdiri daripada berbagai motif yang menggambarkan kemahiran seni ukir orang-orang Melayu yang berdasarkan kepada alam sekitar sebagai bahan adunan dalam hasil ukirannya.  Hasil ini juga melambangkan ketinggian budaya orang-orang Melayu.

Di antara bentuk-bentuk ukiran yang terdapat di istana ini adalah seperti bentuk lambai-lambai, awam berarak, bunga tampuk manggis, bunga semantung, gunung-gunung dan lain-lain.  Ini menunjukkan bahawa hal-hal alamiah tanah mengilhami seni ukir orang-orang Melayu.  Ini membuktikan kepekaan orang Melayu pada alam sekelilingnya. Oleh sebab itulah pada setiap ukiran di ruang dan anjung istana ini melambangkan kekayaan tatasusila dan kehalusan budi bahasa Melayu zaman lampau.

Mukasurat: 1  2