Jeneral (B) Tan Sri Dato' Zain Hashim Jeneral (B) Tan Sri Dato' Zain Hashim

  Jeneral (B) Tan Sri Dato' Zain Hashim telah dilahirkan pada 1 Ogos 1930 di Hamstead, London. Beliau mendapat pendidikan awal darjah satu dan dua di Sekolah Melayu Seputeh (1935-1936) dan di ‘Kota Raja Malay School' (1937-1938) bagi darjah tiga dan empat. Pendidikan menengah beliau bermula di SMC I Monks Hill, Singapura (1939) dan SMC II Monks Hill pada tahun 1940. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat ‘Junior Cambridge di Raffles Institution' (1945) dan ‘Senior Cambridge' di ‘Ismail English School' (1946) Kota Bharu, Kelantan.
Beliau pernah berkhidmat di ‘Malayan Airlines' pada tahun 1947-1949 sebelum menjadi rekrut Askar Melayu pada tahun 1949. Pada tahun 1950, beliau ke ‘Officer Cadet School', Eaton Hall, Chester dan seterusnya ke ‘Royal Military Academy', Sandhurst, England tahun 1951-1952.

  Semasa dalam perkhidmatan, beliau juga berpeluang mengikuti kursus ketenteraan dan profesional. Beliau pernah mengikuti ‘Company Commanders Course' di Warminster (1958) dan ‘Squadron Leaders Course', Bovington (1958) serta menuntut di ‘Staff College Camberley' (UK) dan ‘Joint Service Staff College' di Latimar (UK). Tahun 1971 pula beliau telah ke Royal College of Defence Studies, London dan berkesempatan mengikuti ‘Advance Management Programme' (Harvard Business School) di University of Harvard, Amerika Syarikat.

  Dalam perkhidmatan tentera, beliau telah memegang pelbagai jawatan bermula sebagai ‘Troop Leader FACR' (1952) dan pernah menjadi ‘Adjutant Malayan Contingent for Queen Elizabeth II Coronation' tahun 1953. Pada tahun 1967, beliau merupakan ‘Chief of Staff' di Kementerian Pertahanan. Menjadi Komander bagi ‘KL Garrison' (1968-1969) dan juga ‘Chief of Personnel Staff' sebelum bertugas di Sarawak sebagai Komander ‘3rd Brigade' tahun 1969-1970. Beliau juga pernah menjadi Komander ‘7th Brigade' di Kluang (1972-1973) sebelum menjadi Komandan bagi ‘Malaysian Armed Forces Staff College' (1974).

  Beliau seterusnya menjadi Komander bagi Wilayah Dua (1975-1976) dan ‘Chief of Logistic Staff' (1977) sebelum menjadi ‘Deputy Chief of Army' (1978-1980) dan dinaikkan pangkat sebagai Leftenan Jeneral pada tahun 1980. Beliau kemudian dilantik sebagai Jeneral dan menyandang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat dari 20 Januari 1981 sehingga bersara dari angkatan tentera pada 15 Januari 1984.

  Setelah bersara dari perkhidmatan tentera, beliau terus aktif dengan pelbagai aktiviti terutamanya perbankan dan sukan. Di antaranya beliau merupakan felo bagi ‘Institute of Bankers Malaysia', ‘Presiden bagi Malaysia-Pakistan Economic Association' (MAPECA) (1989), ‘Board of Governors of Bankers Club' (1987) dan Pengerusi bagi Perwira Affin Bank. Dalam bidang sukan, beliau pernah aktif dalam ‘Football Association of Malaysia' (FAM) dengan menjadi Pengerusi bagi ‘FAM Players Status Committee', Naib Pengerusi bagi FAM Football Referees Committee dan Ahli Majlis bagi Jawatankuasa Pelaburan FAM.

Tokoh Pengkisahan Sejarah Penentangan dan Perdamaian: Komunis di Malaysia
2 Disember 1998
Memorial Tunku Abdul Rahman