Kota A' Famosa, Melaka Kota A' Famosa, Melaka

Melaka, sebuah negeri yang kaya dengan kesan-kesan sejarah tanah air yang penting, malah negeri ini juga pernah menjadi pusat sebuah empayar yang luas pada abad ke-15.  Salah sebuah kesan sejarah yang terkenal ialah Kota Famosa yang kini hanya tinggal pintu kotanya sahaja di kaki Bukit St. Paul yang lebih dikenali sebagai 'Porta de Santiago'.

Menurut catatan Laksamana Cheng Ho dari China yang pernah melawat Melaka pada tahun 1409, pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, terdapat sebuah kota yang didirikan oleh Raja Parameswara. Kota ini didirikan daripada kayu yang kuat sebagai tembok dan mempunyai 4 pintu.  Pada waktu malam, ia sentiasa dijaga rapi.  Baginda Sultan membina kota ini bertujuan untuk dijadikan gedung simpanan barang-barang dan khazanah kerajaan di samping sebagai benteng pertahanan dari serangan musuh.  Kota ini terus diperbaiki dari semasa ke semasa oleh Raja-raja yang menggantikan baginda.

Dalam peperangan yang hebat dengan Portugis pada tahun 1511, Kota ini tidak dapat dihancurkan oleh musuh dan berikutan dengan itu juga, Melaka dapat ditawan oleh Portugis.  Menyedari kepentingan pertahanan yang lebih kukuh di Melaka,maka Ketua Portugis di Melaka, Alfonso de'Albuquerque telah mengarahkan sebuah kota didirikan.  Pada mulanya, Albuquerque juga bercadang membina kota ini daripada kayu dan batu, tetapi kemudiannya mengarahkan supaya kota ini dibina daripada batu sepenuhnya memandangkan kemudahan bahan itu pada masa itu.  Ekoran daripada itu, beliau telah mengarahkan askar-askarnya dan menggunakan 300-400 orang hamba-hamba raja yang ditawan untuk membina kota ini.  Setelah kota ini siap dan tersergam kukuh di kaki Bukit St. Paul, ia diberi nama Kota Famosa, ertinya Kota Yang Termasyhur.

Kota ini berbentuk hampir 4 segi, mempunyai tembok batu setinggi 3.6 meter setebal 2.4 meter di sekelilingnya.  Terdapat 4 pintu masuk ke Kota ini dan pintu utamanya mengarah ke jambatan jungkit yang merentangi sungai.  Menurut catatan Abdullah Munshi pada tahun 1805, kekuatan Kota Famosa ini amat hebat sekali.  Kota ini juga mempunyai 8 buah menara tempat kawalan setinggi 18-24 meter dan tebal temboknya 4.5 meter.  Pada bahagian bawah tempat ini terdapat tempat kediaman tentera-tentera dan kuda bagi tujuan peperangan.  Terdapat juga lorong-lorong antara tempat-tempat kawalan itu untuk kemudahan pada masa peperangan.

Sementara itu, di sekeliling tembok kota juga ditempatkan 60 orang sepoi yang lengkap bersenjata.  Tidak seorang pun dibenarkan masuk ke dalam kota selepas pukul 6 petang.  Pada pukul 8 malam, jambatan jungkit yang merentangi sungai ditarik naik ke atas kota.  Sesiapa yang berjalan di sekitar kota tanpa membawa jamong atau lampu suluh, akan ditahan oleh askar-askar yang berkawal.  Begitu juga sesiapa yang tidak menyahut cabaran pengawal akan ditembak.

Mukasurat: 1  2