Kota Cornwallis,Pulau Pinang Kota Cornwallis,Pulau Pinang

Pulau Pinang atau dikenali juga sebagai Pulau Mutiara merupakan sebuah pulau yang sesuai sebagai pusat perniagaan dan persinggahan kapal-kapal perdagangan dari timur dan barat. Oleh itu sejak dahulu lagi pulau ini menjadi rebutan kuasa-kuasa penjajah.

Inggeris, sebuah kuasa barat yang mula-mula menduduki pulau ini telah mengeksploitasi kedudukan pulau yang strategik di pintu masuk Selat Melaka ini bagi kepentingannya. Kesan-kesan pendudukan Inggeris itu masih lagi dapat dilihat sehingga kini. Salah satu kesan peninggalan Inggeris itu ialah Kota Cornwallis yang dibina pada tahun 1786 oleh Francis Light dengan menggunakan buruh orang-orang buangan dari India.

Kota Cornwallis ini dibina oleh Francis Light setelah empat hari mendarat dan menduduki Pulau Pinang. Pada awal pembinaanya kota ini dibina daripada kayu dan batang-batang nibung berukuran 46.4 meter persegi. Kota yang diperlengkapi dengan senjata-senjata dan meriam ini dinamakan sebagai Kota Cornwallis mengambil sempena nama Charles Earl Cornwallis II, seorang bangsawan Inggeris yang menjadi Gabenor Jeneral Inggeris di India pada ketika itu.

Sehingga tahun 1791, tidak banyak perubahan yang dilakukan ke atas Kota Cornwallis ini. Hanya pada tahun 1808, kota ini telah diperbaharui dengan menggantikan batang-batang nibung tersebut dengan binaan batu.

Kota ini sentiasa mendapat ancaman dari kuasa-kuasa lain dan terdedah kepada serangan musuh kerana kedudukan Pulau Pinang dan Kota Cornwallis ini yang berhampiran dengan laut. Ancaman juga turut diterima daripada penduduk Pulau Pinang sendiri yang telah mengecam pihak Inggeris sejak dari awal pembinaan kota ini lagi kerana bimbang akan turut mengheret mereka dalam kancah peperangan. Tambahan pula Inggeris telah mengabaikan janjinya untuk menolong Kedah menentang Siam, sedangkan ketika Sultan Abdullah menyerahkan Pulau Pinang kepada Inggeris itu, salah satu syarat persetujuannya Inggeris dikehendaki menolong Kedah menentang ancaman Siam.

Kota ini kemudiannya telah ditinggalkan terbiar begitu sahaja sehinggalah pada tahun 1815 apabila pihak Pulau Pinang Town Council mengeluarkan arahan supaya ia diperbaiki semula. Tetapi tiga tahun kemudian pembaikannya dihenti berikutan sungutan mengatakan usaha ini tidak mendatangkan kebaikan. Setelah beberapa percubaan untuk memperbaiki kota ini tergendala, pihak pentadbiran Pulau Pinang telah menjadikannya sebagai pusat kegiatan seni dan kebudayaan.

Pada hari ini kota peninggalan Inggeris ini diwartakan di bawah Akta Benda Purba sebagai bahan sejarah oleh pihak Muzium Negara. Kota ini dipelihara dengan baik sebagai satu kesan sejarah yang penting, kerana di dalam kota ini terdapat beberapa pucuk meriam lama yang dihalakan ke arah laut. Meriam-meriam ini dihadiahkan oleh pihak Belanda kepada negeri Johor yang telah membantunya menentang Portugis. Tetapi apabila Johor ditawan oleh Acheh pada tahun 1613, meriam-meriam ini dibawa ke Acheh dan kemudiannya Sultan Acheh menghadiahkan pula meriam-meriam ini kepada Selangor dan diletak di Kota Kuala Selangor. Apabila Inggeris menawan Kota Kuala Selangor pada tahun 1871, meriam-meriam ini telah di bawa ke Pulau Pinang dan ditempatkan di Kota Cornwallis.

Kini dengan penjagaan yang sempurna Kota Cornwallis bukan sahaja terkenal sebagai kota yang bersejarah tetapi juga ianya menjadi daya tarikan pada pelancong-pelancong dari dalam dan luar negera yang melawat Pulau Mutiara ini.