Kota Long Jaafar, Perak Kota Long Jaafar, Perak

Nama Long Jaafar, tidak asing lagi bagi para pengkaji sejarah negara dan sejarah Negeri Perak khususnya.  Beliaulah yang mula-mula menemui bijih timah di negeri Perak dan mengusahakannya pada tahun 1848 dan memajukannya dengan usaha-usaha perlombongan bijih timah.  Di atas usahanya itu, Negeri Perak khususnya daerah Larut semakin terkenal dengan perlombongan bijih timah.

Untuk menguatkan kedudukannya, Long Jaafar telah membina sebuah kota di Bukit Gantang dan di dalam kota ini didirikan rumahnya.  Kota ini terletak di atas sebidang tanah seleuas lebih kurang 5 hektar.  Kota Long Jaafar ini diperbuat daripada batu-bata dan tanah yang bercampur ketul-ketul batu disusun dengan baik dan sempurna, sesuai dengan tingginya tembok kota yang bergantung kepada kedudukan tapaknya di lereng bukit.  Tembok kota ini tingginya lebih daripada 2 meter, di samping tembok yang rendah kira-kira 1½ meter.  Pembinaan kota ini memakan masa hampir lima tahun.

Di dalam kota inilah terdapat bekas-bekas gudang tempat menyimpan bijih timah semasa pemerintahan Long Jaafar.  Di samping itu juga, terdapat sebuah tasik yang dibina di hadapan kota tersebut.  Walaupun sebahagian besar tembok kota ini telah rosak dan musnah tetapi ia merupakan salah satu kesan sejarah terpenting di Negeri Perak.

Long Jaafar telah meningggal dunia pada tahun 1857 dan dikebumikan di dalam kota ini.  Makamnya masih terdapat sehingga kini. Pentadbiran Larut kemudiannya diambil alih oleh anak Long Jaafar, Ngah Ibrahim. Ngah Ibrahim telah mendapat watikah perlantikan daripada Sultan Jaafar dalam tahun 1864 dan diberi gelaran Orang Kaya Menteri. Ngah Ibrahim telah menjalankan usaha-usaha perlombongan bijih timah yang dirintis oleh ayahandanya dahulu.  Bagaimanapun Ngah Ibrahim tidak menetap di Bukit Gantang tempat kota ayahandanya tetapi beliau telah membina sebuah kota dan kediaman lain yang lebih besar serta kukuh di Matang dalam tahun 1857. 

Kota ini dinamakan Kota Ngah Ibrahim sempena namanya dan di dalam kota ini juga didirikan rumah kediamannya.  Kota Ngah Ibrahim ini berbentuk segi empat dan dibina daripada tembok batu di sekelilingnya setinggi kira-kira  2.15 meter.  Keluasan kota ini meliputi kira-kira 10,000 meter persegi.  Kota ini dibina berdasarkan bentuk seni bina kota-kota buatan Barat dan lebih sama bentuknya dengan Kota Kuala Kedah.

Kota Ngah Ibrahim ini dibina berhampiran dengan Sungai Larut di daerah Matang.  Ini adalah kerana tempat tersebut lebih sesuai digunakan untuk berhubung dengan dunia luar terutama sekali bagi membawa bijih timah ke luar.  Di atas kejayaan Ngah Ibrahim memajukan Larut ini, Sultan Perak melantik beliau sebagai Menteri di Larut bergelar Orang Kaya Menteri Seri Paduka Tuan yang berkuasa penuh memerintah seluruh Daerah Larut. Di peringkat awal, Kota Ngah Ibrahim berperanan sebagai pusat pentadbiran Larut, pusat ekonomi, pertahanan dan kediaman rasmi.

Kota Ngah Ibrahim di Matang ini memainkan peranan penting dalam sejarah negeri Perak khususnya dalam permulaan campur tangan Inggeris di Tanah Melayu.  Pada tahun 1876 kota ini telah dijadikan tempat perbicaraan ke atas pahlawan-pahlawan dan Orang-orang Besar Perak yang telah membunuh J.W.W. Birch, Residen British yang pertama di Perak.  Dalam perbicaraan itu beberapa orang pejuang Melayu yang terlibat secara langsung dalam pembunuhan itu telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Dato' Sagor, Dato' Mahareja Lela, Si Puntum dan Pandak Endut telah digantung di Bandar Baru dekat Pasir Salak.

Manakala beberapa orang pembesar lain seperti Ngah Ibrahim dihukum buang negeri ke Pulau Seychelles bersama-sama Raja Abdullah dan laksamana pada masa itu.  Kota dan rumah Ngah Ibrahim kemudiannya dirampas oleh pihak Inggeris. Sebagai ganti rugi, pihak Inggeris memberikan sebuah rumah kepada Toh Puan Habibah, isteri pertama Ngah Ibrahim yang kini menjadi kediaman Orang Besar Jajahan.

Pada tahun 1913, Rumah Ngah Ibrahim yang terletak dalam kota itu telah dijadikan Maktab Perguruan Matang, iaitu salah sebuah maktab yang tertua di Semenanjung Tanah Melayu.  Bagaimanapun Maktab Perguruan Matang ini ditutup pada tahun 1922 bila Maktab Perguruan Sultan Idris dibuka di Tanjung Malim. Selepas tarikh tersebut ia telah dijadikan Sekolah Melayu Matang dan apabila tercetus Perang Dunia Kedua dijadikan Markas Tentera Jepun (1941-1945). Selepas tamat Perang Dunia Kedua bangunan ini telah berfungsi sebagai Sekolah Melayu sehinggalah tahun 1985 apabila diserahkan kepada pihak Muzium untuk dipelihara.

Pada masa ini Kota Ngah Ibrahim masih tetap utuh dengan binaannya yang berbentuk empat segi itu.  Malah sebahagian rumah Ngah Ibrahim yang terletak dalam kawasan tembok kota telah dijadikan bilik-bilik darjah bagi menampung kekurangan bilik darjah Sekolah Kebangsaan Matang yang berhampirannya.

Selain Kota dan Rumah Ngah Ibrahim, di Matang ini juga terdapat kesan sejarah lisan iaitu Masjid Tengku Menteri.  Masjid ini juga telah dibina oleh Ngah Ibrahim pada masa yang hampir sama dengan tahun pembinaan kotanya, sekitar tahun 1868.  Ia dinamakan Masjid Tengku Menteri mengambil sempena gelaran Ngah Ibrahim sebagai Menteri Larut.  Kini masjid ini dikenali pula sebagai Masjid Matang dan masih digunakan oleh masyarakat di kampung tersebut.

Mukasurat: 1  2