Kuala Lumpur Merakam Sejarah dan Pembangunan Negara Kuala Lumpur Merakam Sejarah dan Pembangunan Negara

 

Pada tahun 1890, Kuala Lumpur mula diurus di bawah seliaan Lembaga Kebersihan yang bertanggungjawab antaranya menjaga kebersihan jalan raya, pemasangan lampu-lampu, mentadbir pasar-pasar dan sebagainya. Kini, ia boleh berdiri sebaris dengan kota-kota besar dunia yang lain di bawah pentadbiran dan pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Sebut sahaja Kuala Lumpur dan pentadbiran, pastinya ingatan kita membayangkan Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di lokasi strategik di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur berhampiran dengan Dataran Merdeka, Kelab Diraja Selangor dan Masjid Jamek. Bangunan warisan ini pernah menjadi Pusat Pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Ia juga pada satu ketika menempatkan Pejabat Pos Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Mahkamah Agung Malaysia. Kini, Bangunan Sultan Abdul Samad dijadikan pejabat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan merupakan pusat kebudayaan negara. Bangunan bersejarah ini akan terus menjadi simbol kebanggaan rakyat sebagai mercu tanda negara sejak sebelum merdeka.

Di sebalik unggulnya Kuala Lumpur dek pembangunan dan pentadbiran, begitu jugalah dengan sejarah peradaban negara. Kuala Lumpur telah merakamkan pelbagai peristiwa suka duka dalam lipatan sejarah negara. Laungan MERDEKA pasti terus terpahat dalam ingatan setiap rakyat Malaysia tatkala negara meraikan saat-saat manis kemerdekaan dan bebas dari belenggu penjajah. Peristiwa 13 Mei 1969 pula mencatat memori hitam apabila perpaduan rakyat telah tergugat dan keselamatan negara turut terancam. Peristiwa ini wajar diambil iktibar oleh semua rakyat Malaysia.

Arus kemodenan tidak dapat menafikan Kuala Lumpur untuk menjadi destinasi warisan dan budaya. Ia memartabatkan seni dan budaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum  melalui pelbagai usaha bagi menarik minat para pelancong dan penggemar seni tanah air. Selain dari itu, Kuala Lumpur sebagai destinasi ilmu turut mengetengahkan khazanah warisan dan kepimpinan tokoh negara di Muzium dan Memorial sekitar Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur, banyak yang diketahui, semakin banyak pula yang perlu diterokai. Bagi generasi sebelum merdeka, pasti mereka kaya dengan coretan yang boleh dikongsi bersama anak dan cucu akan kehebatan Kuala Lumpur. Generasi pasca merdeka pula perlu terus menghayati keunggulan Kuala Lumpur agar semangat cintakan watan sentiasa membara. Terdapat pelbagai sumber bahan sejarah berkaitan Kuala Lumpur yang boleh dibuat penyelidikan di Arkib Negara Malaysia.

1 Februari ini genaplah 36 tahun Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan. Perancangan strategik Kuala Lumpur terus menjadi fokus di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang bermatlamat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia selaras dengan Wawasan 2020.

Mukasurat: 1  2  3