Kubu Pantai Sabak Kubu Pantai Sabak

Dalam sejarah Peperangan Dunia Kedua di Tanah Melayu,Pantai Sabak telah mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam lipatan sejarah tanah air. Pantai Sabak yang terletak di negeri Kelantan, sebuah negeri di timur laut Tanah Melayu menjadi begitu strategik sekali.

Oleh sebab itulah Inggeris telah mengadakan benteng pertahanan yang kuat di Pantai Sabak sebagai pangkalan utama menghalang kemaraan musuh dari laut. Namun begitu pada hari ini kesan-kesan kubu Pantai Sabak itu sudah tidak dapat dilihat lagi kerana telah terhakis dan ditenggelami oleh air laut.

Apabila perang merebak ke Tanah Melayu, pihak Jepun telah memilih Pantai Sabak sebagai tempat pertama sasaran serangannya. Ini adalah kerana pantainya yang terletak di bahagian utara Tanah Melayu agak berdekatan dengan Siam dan Vietnam, di mana tentera-tentera Jepun yang datang melalui laut akan berdepan dengan kawasan ini terlebih dahulu.

Menyedari kepentingan kawasan ini Inggeris telah membina kubu yang kuat di Pantai Sabak untuk melindungi lapangan terbang Pengkalan Chepa yang berhampiran dengannya daripada ditawan musuh.

Pada 8 Disember 1941, apabila tentera Jepun mula menyerang Tanah Melayu, Pantai Sabak menjadi medan perang pertama. Tentera-tentera Inggeris yang berkubu di Pantai Sabak telah memberikan tentangan hebat menghalang tentera Jepun daripada mendarat. Walau bagaimanapun pihak Jepun dapat menewaskan pertahanan di Pantai Sabak ini, seterusnya menguasai Pengkalan Chepa dan seluruh Kota Bharu jatuh ke tangan tentera Jepun pada 9 Disember 1941.

Kejayaan tentera Jepun menawan bandar Kota Bharu dalam masa sehari membuktikan kekuatan dan semangat tentera Jepun yang tinggi. Semasa serangan yang dilancarkan di Pantai Sabak, pihak Jepun telah membakar kapal-kapalnya untuk memberi semangat kepada tentera-tenteranya bahawa mereka tidak mempunyai pilihan kecuali terus mara.