Kuswadi bin Bujang (Kuswadinata) Kuswadi bin Bujang (Kuswadinata)

 Kuswadi bin Bujang atau lebih dikenali dengan nama Kuswadinata telah dilahirkan pada 8 September 1938 di Depot Polis Thompson Road, Singapura. Bapanya berasal dari Rembau, Negeri Sembilan dan ibunya Puan Siti Duriah Raden Durahim berasal dari Cheribon, Indonesia. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Hajah Fatimah Ahmad di Singapura dan telah dikurnikan lima orang anak sebelum bercerai kemudiannya beliau berhijrah ke Malaysia dan berkahwin dengan Hajah Kamariah Mohamad Said dan dikurniakan empat orang anak.

 Pendidikan awal beliau adalah di Sekolah Telok Kurau, Singapura. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di Undang Rembau English School dan berhenti setakat darjah tujuh pada tahun 1954 dan kembali ke Singapura.

 Kuswadinata sememangnya bercita-cita menjadi pelakon filem dan gemar menonton wayang. Di Singapura beliau bekerja di sebuah syarikat perniagaan iaitu Rotterdam Trading Company. Hanya pada tahun 1957 beliau menghadiri screen test bersama-sama Mahmud June di Studio Cathay Keris di hadapan L. Krishnan, M. Amin, S.Roomai Nor, Nordin Ahmad dan Maria Menado.

 Beliau terpilih dan menandatangani kontrak selama dua tahun di Cathay Keris. Filem pertama lakonannya adalah Hantu Harimau arahan S. Roomai Nor. Pertandingan sepak raga (takraw) di antara kumpulan Cathay Keris dan Shaws Malay Film Productions telah menemukan beliau dengan Pengarah filem Antara Dua Darjat, beliau telah memilih Kuswadinata untuk berlakon di dalam filemnya. Kuswadinata menerima tawaran itu tanpa bertanyakan berapakah bayaran yang akan diberi dan beliau telah meninggalkan Cathay Keris.

 Dalam masa setahun di Shaws Malay Film Productions, Kuswadinata juga telah berlakon di bawah arahan Dhiresh Ghosh dalam filem Panji Semerang. Dalam tahun yang sama juga beliau berlakon dalam filem Seniman Bujang Lapok arahan P.Ramlee. Beliau masih ingat bagaimana P.Ramlee memekik menyebut ‘Pu** mak' kepadanya apabila beliau mengatakan tidak boleh membawa watak lucu bagi filem berkenaan. Setelah diherdik dan dinasihat oleh P.Ramlee barulah beliau bersetuju membawa watak lelaki berkahwin dua di dalam filem tersebut.

 Beliau telah bekerja di Shaw Brothers dari tahun 1959 hingga 1967. Antara filem-filem di mana beliau membawa watak utama adalah Kris Mas, Aku Mahu Hidup dan Satu Titik Di Garisan. Beliau juga pernah berlakon di bawah arahan Nordin Ahmad dalam filem Lobang Neraka, bagaimanapun filem berkenaan tidak pernah ditonton oleh beliau sendiri.

 Setelah Studio Jalan Ampas ditutup beliau berhenti berlakon dan bekerja di Golden Mine, Beach Road dan Singapura sebagai Home Detective (pengawal peribadi) dan akhirnya sebagai lifeguard. Beliau berhijrah ke Kuala Lumpur setelah dipelawa oleh Sarimah untuk berlakon dalam filem Detik 12 Malam.

 Antara filem-filem lakonan Kuswadinata adalah Orang Lichin (1958), Orang Minyak (1958), Antara Dua Darjat (1960), Indera Bangsawan (1961), Panji Semerang (1961), Seniman Bujang Lapuk (1961), Singapura Di Langgar Todak (1962), Korban (1963), Dayang Senandong (1965), Kacha Permata (1965), Dahaga (1966), Detik 12 Malam (1980), Jejak Bertapak (1981), Lang Buana (2004) dan Gerak Khas 3 (2005).

Pengkisahan Sejarah Tan Sri P. Ramlee
26 Mei 1999
Arkib Negara Malaysia.