Maktab Mahmud, Kedah Maktab Mahmud, Kedah

Maktab ini juga agak berlainan dengan sekolah-sekolah lain dalam beberapa hal.  Waktu belajarnya dari jam 8.00 pagi hingga 12.45 tengahari.  Pelajar-pelajar belajar dalam 6 hari seminggu dengan hari Jumaat sahaja mereka cuti.  Pada peringkat awal maktab ini, pelajar diajar dalam Bahasa Pengantar Arab sahaja dan mata pelajarannya juga tentang Agama Islam dan Bahasa Arab. Hal ini bersesuaian dengan matlamat maktab ini yang mahu menyumbangkan ilmu pengetahuan Islam pada peringkat yang lebih tinggi lagi.

Walau bagaimana pun sejak tahun 1962 maktab telah berubah berikutan perubahan dasar pelajaran negeri dan maktab mula memperkenalkan mata pelajaran akademik yang diajar menerusi Pengantar Bahasa Melayu yang membolehkan pelajar-pelajar menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP), sekarang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  Ini memberi peluang pada pelajar-pelajar lepasan Maktab Mahmud untuk berkhidmat dalam pentadbiran awam.

Selain itu, Maktab Mahmud juga dari semenjak ianya dibuka sehingga tahun 1967 telah mewajibkan semua pelajar tahun akhir menduduki satu peperiksaan khas yang dikenali sebagai Sijil Maktab Mahmud.  Sijil ini diakui oleh Kerajaan Negeri Kedah, Universiti Azhar, Mesir dan beberapa buah Universiti lagi di Timur Tengah.  Satu keistimewaan bagi mereka yang memiliki Sijil Maktab Mahmud ini ialah mereka dibenarkan masuk terus ke Universiti di Timur Tengah tanpa menduduki kelas persediaan terutama pada mereka yang mengambil bidang Perundangan Islam, Bahasa Arab dan Kesusasteraan Arab.  Ini membuktikan bahawa tahap Pengajian Islam dan Bahasa Arab lepasan Maktab Mahmud begitu baik dan diakui di peringkat antarabangsa.

Sejak ditubuhkan Maktab Mahmud telah banyak berubah sesuai dengan perkembangan dasar pelajaran di mana pelajar-pelajarnya belajar 2 bidang iaitu bidang agama dalam Pengantar Arab dan bidang akademik dalam Pengantar Melayu.  Ini membolehkan  pelajar-pelajar itu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di samping sijil-sijil dalam bidang agama.

Daripada suatu segi ini amat menguntungkan kerana pelajar-pelajar boleh menguasai dua bidang sekaligus, agama dan akademik.  Tetapi pelajar-pelajar juga terpaksa menumpukan sepenuh perhatian dan beban kerja yang lebih daripada sekolah biasa.

Walau bagaimana pun, memang tidak dapat dinafikan bahawa Maktab Mahmud telah berjaya melahirkan ramai tokoh yang berjiwa Islam terutama guru-guru agama dan pegawai-pegawai yang berkhidmat di Majlis Agama Islam serta badan-badan lain.  Di antara mereka yang terkenal yang pernah mendapat didikan di Maktab Mahmud ini ialah Dr. Abd. Halim Ismail, Allahyarham Sheikh Mohsein Hj. Salleh dan Ustaz Mohd. Fadhil Noor iaitu pelajar pertama maktab ini yang mendapat pangkat pertama Sijil Kismul Ali dan lain-lain.  Dan kini Maktab Mahmud masih teguh berdiri sebagai rumah ilmu yang telah banyak jasanya itu.

Mukasurat: 1  2  3