Maktab Mahmud, Kedah Maktab Mahmud, Kedah

Negeri Kedah pada awal abad 20 mula terkenal sebagai tempat perkembangan Agama Islam yang subur selepas pudarnya pengaruh Hindu-Buddha.  Hal ini amat ketara sekali terutama pada masa pemerintahan Sultan Ab. Hamid Halim Syah di mana munculnya beberapa orang tokoh ulama seperti Hj. Wan Sulaiman yang telah mendirikan Madrasah Hamidiah pada tahun 1920.

Madrasah yang dinamakan mengambil sempena nama Sultan Abd. Hamid Halim Syah itu telah berkembang pesat sebagai pusat pembelajaran Agama Islam dan Bahasa Arab di kawasan Utara Semenanjung dan telah berjaya melahirkan ramai guru agama yang amat diperlukan pada waktu itu.

Perkembangan pesat ini memerlukan sebuah sekolah lain bagi menampung pertambahan bilangan pelajar di samping memberi pelajaran di peringkat yang lebih tinggi lagi daripada setakat darjah lima yang diajar di Madrasah Hamidiah.  Di atas daya usaha YM Tengku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin yang menjadi Pemangku Raja pada masa itu, sebuah sekolah baru yang lebih sempurna dan lengkap telah didirikan pada tahun 1936.

Sekolah yang terletak di Simpang Kuala, Alor Setar ini kemudiannya dikenali sebagai Al-Maahadil Mahmud atau Maktab Mahmud mengambil sempena nama Pemangku Raja YM Tengku Mahmud.

Maktab ini ditadbirkan oleh satu Jawatankuasa Penasihat yang dilantik dengan perkenan Sultan Kedah.  Menteri Besar biasanya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penasihat itu dan Guru Besar Maktab sebagai Setiausaha.  Jawatankuasa dilantik daripada golongan ulama dan Sheikul Islam dan kuasa pentadbirannya terletak di bawah kuasa pejabat Hal Ehwal Agama Islam Kedah.

Maktab Mahmud sebagai sebuah sekolah Agama yang ulung itu sudah pasti memerlukan sumber kewangan yang kukuh bagi mengurusnya.  Pada peringkat awal penubuhannya, maktab ini dibiayai oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah.  Selain zakat, maktab juga mempunyai tanahnya sendiri yang didermakan kepadanya oleh beberapa orang dermawan tempatan yang berjumlah kira-kira 83 ekar tanah yang diwakafkan pada maktab.  Melalui sumber-sumber inilah juga pihak maktab dapat menambahkan sumber kewangannya bagi membiayai pelajar-pelajar yang dihantar melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah.

Kemasukan ke maktab ini juga agak berlainan dengan sekolah-sekolah lain.  Pelajar-pelajar yang ingin memasuki Maktab Mahmud perlu mengisi satu borang khas yang dikeluarkan oleh pihak Maktab.  Syarat utama untuk memohon memasuki maktab ini, pelajar-pelajar mestilah tidak kurang daripada 13½ tahun umurnya dan mestilah lulus darjah 5 atau 6 Sekolah Kebangsaan atau Jenis Kebangsaan dan boleh membaca Al-Quran.  Walaupun mencukupi syarat-syarat tersebut calon-calon yang memohon memasuki maktab ini juga akan ditemuduga oleh Jawatankuasa Pemilihan bagi menentukan seseorang calon itu berjaya atau gagal untuk memasuki maktab ini.

Mukasurat: 1  2  3