Maktab Melayu Kuala Kangsar Maktab Melayu Kuala Kangsar

Kuala Kangsar bukan sahaja terkenal sebagai Bandar Diraja yang mempunyai istana-istana yang cantik, tetapi juga terkenal dengan tempat wujudnya sebuah institusi pelajaran yang terkenal di negara ini. Institusi pelajaran itu ialah Maktab Melayu Kuala Kangsar yang telah memainkan peranan penting dalam melahirkan para cendekiawan Melayu untuk memegang teraju pemerintahan negara.

Detik-detik penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar bermula pada tahun 1904 bila mana R.J. Wilkinson, Pengarah Sekolah-sekolah di Negeri-negeri Melayu Bersekutu menulis surat kepada Residen General dan mencadangkan penubuhan sebuah sekolah khas (Special Residential School) di dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Sekolah ini adalah bertujuan untuk memberi pelajaran moden yang lebih baik kepada anak-anak bangsawan dalam usaha melatih mereka ini bagi diserapkan di bahagian-bahagian tertentu dalam pentadbiran kerajaan Inggeris.

Wilkinson juga menyatakan dengan panjang lebar tentang betapa perlunya anak-anak golongan bangsawan diberi pelajaran yang lebih baik supaya apabila mereka tamat pengajian kelak, berkelayakan menjadi Jurukur, Juruteknik, Pegawai Hutan, Pentadbir dan lain-lain. Ini kerana selama ini pelajaran yang diberikan kepada anak-anak Melayu hanya di peringkat rendah sahaja.

Cadangan Wilkinson telah dibincangkan dalam Persidangan Residen 1904 dan hasil persetujuan untuk menubuhkan sekolah ini diserahkan pada Pemangku Pesuruhjaya Tinggi pada masa itu Sir William H. Treacher. Dengan itu, pada 2 Januari 1905 sebuah sekolah telah dibuka yang dikenali sebagai `Malay Residential School' dengan Mr. William Hargreaves, bekas Guru Besar Penang Free School menjadi Guru Besar pertama sekolah ini. Sekolah ini dibina di atas tapak yang diberikan oleh Almarhum Sultan Idris di Bandar DiRaja Kuala Kangsar. Baginda adalah salah seorang Raja yang amat mengambil berat tentang pelajaran anak-anak Melayu dan merupakan orang yang kuat sekali menyokong cadangan penubuhan sekolah ini dahulu.

Dalam tempoh percubaannya selama tiga tahun, sekolah baru ini telah menunjukkan kejayaan dan kemajuan yang baik dan memuaskan. William Hargreaves yang memulakan pembelajaran di sekolah ini dengan 2 orang guru yang lain telah menerima 59 orang pelajar di awal pembukaannya. Pada tahun berikutnya bilangan pelajar bertambah kepada 79 orang yang kebanyakkannya terdiri daripada anak-anak golongan bangsawan.

Walaupun keadaan bangunan sekolah yang kurang sempurna, tetapi semangat yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar sekolah ini amat membanggakan sekali. Pelajar-pelajar ini sebahagian daripadanya tinggal di asrama, rumah-rumah sewa dan kuarters keretapi. Manakala anak-anak golongan bangsawan dan anak-anak raja tinggal di rumah-rumah sewa yang lebih baik bersama-sama Guru Besar dan guru-guru yang lain. Pelajar-pelajar juga diberi wang saku oleh kerajaan untuk perbelanjaan harian dan persekolahan.

Di antara guru-guru yang pernah mengajar di Maktab ini ialah Mr. William Hargreaves, Mr. Rolands dan Mr. Vanreuman. Pada tahun 1907 terdapat kira-kira 70 orang pelajar yang dibahagikan kepada beberapa kelas. Guru Besar, Mr. William Hargreaves mengajar kelas 6 dan 7, Mr. Roland mengajar kelas 3, 4 dan 5 manakala Mr. Vanreuman mengajar kelas 1, 2 dan 3. Mr. Vanreuman kemudiannya digantikan oleh Cikgu Ab. Majid bekas pelajar sekolah ini pada tahun 1918. Beliau berasal dari Negeri Sembilan dan merupakan seorang pelajar yang pintar dan cerdas sehingga dapat menamatkan pelajarannya dalam masa yang singkat sahaja.

Pada tahun 1909, bangunan utama sekolah yang dinamakan `Big School' telah siap dibina dengan berbagai kemudahan disediakan seperti berek guru, asrama pelajar, padang permainan dan lain-lain di kawasan seluas 30-40 ekar. Pembukaan rasmi bangunan sekolah yang baru ini dilakukan oleh Sultan Idris pada 11 Disember 1909 dan pada hari ini juga nama `Malay Residential School' ditukar kepada `Malay College Kuala Kangsar' (MCKK).

Maktab Melayu Kuala Kangsar kemudiannya telah berkembang pesat dan satu kelas khas telah diperkenalkan iaitu `Malay Probationer' di mana pelajar-pelajar yang lulus kelas 7 dengan cemerlang dipilih untuk dilantik sebagai persediaan memasuki `Malay Administrative Service' (M.A.S.). Kursus ini memakan masa selama 3 tahun dan selepas itu pelajar-pelajar percubaan M.A.S. itu akan dilantik sebagai pegawai M.A.S. untuk beberapa lama sebelum diserap ke dalam Malayan Civil Service (MCS).

Pada tahun 1926 Kuala Kangsar dilanda banjir yang teruk dan MCKK telah dinaiki air. Walau bagaimanapun atas perhatian Sultan Iskandar, pelajar-pelajar telah dipindah ke Bukit Chandan sehingga banjir surut. Semasa Perang Dunia Kedua pula, MCKK pernah dijadikan sebagai Sekolah Jepun, Markas Gunsei Kambu (Pentadbiran Awam Jepun) dan juga pernah dijadikan Hospital Tentera.

Pada bulan Januari 1947, MCKK telah dibuka semula dengan pendaftaran seramai 205 orang pelajar-pelajarnya. Pada tahun ini juga merebaknya perkembangan semangat kebangsaan Melayu dan Dato' Onn telah melawat MCKK memberi perangsang kepada para pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh kerana dengan pelajaranlah anak-anak Melayu akan dapat memerintah negara bila mencapai kemerdekaan kelak. Malah parti UMNO juga telah mengeluarkan biasiswa kepada setengah-setengah pelajar MCKK di samping biasiswa negeri dan lain-lain.

Mukasurat: 1  2