Maktab Perguruan Sultan Idris Maktab Perguruan Sultan Idris

Tanjung Malim, dikatakan mendapat nama dari suatu tanjung berhampirannya yang dikenali sebagai Tanjung Mualim pada suatu masa dahulu. Disinilah tertubuhnya sebuah institusi pendidikan tertua di negara ini dan sehingga kini institusi ini masih lagi memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan.

Institusi yang dimaksudkan itu ialah Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) atau dikenali juga sebagai `Suluh Budiman'. MPSI dilahirkan hasil daripada cadangan Sir Richard Winstedt yang menjadi Penolong Pengarah Pelajaran Sekolah-sekolah Melayu pada waktu itu. Cadangan itu diterima kerajaan dan Persidangan Residen-residen pada tahun 1917 pula telah meluluskan penubuhan sebuah Maktab Perguruan Pusat dan tempat yang dicadangkan ialah Tanjung Malim. Ini kerana Tanjung Malim terletak di tengah-tengah, berdekatan jalan keretapi, sungai dan pekan serta kesuburan tanah di kawasan tersebut.

Sehubungan dengan itu pada 20 Oktober 1917, Tanjung Malim telah dipersetujui dengan rasminya sebagai tapak Maktab Perguruan yang baru ini. Seluas 63 ekar tanah telah dibeli untuk tujuan ini dan pelaksanaan membinanya dijalankan tahun 1919. Setelah siap pembinaannya tahun 1922, maktab ini mula beroperasi pada 23 November 1922 dengan 3 orang guru dari Eropah, 7 orang guru Melayu dan seorang guru anyaman dari Filipina.

Maktab yang baru ini kemudiannya dibuka dengan rasminya oleh Sir George Maxwell, Ketua Setiausaha Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 29 November 1922. Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Sultan Iskandar Shah, para pembesar negeri, O.T. Dussek, Pengetua Maktab, dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Maktab ini kemudiannya dinamakan Maktab Perguruan Sultan Idris, mengambil sempena nama Almarhum Sultan Idris iaitu Sultan Perak yang amat mengambil berat tentang pelajaran anak-anak Melayu pada masa pemerintahannya.

Dengan pembukaan MPSI ini, maktab-maktab yang lebih awal seperti Maktab Matang dan Melaka dibubarkan dan pelajar-pelajarnya diserapkan ke MPSI. Di bawah O.T. Dussek, Pengetua MPSI yang pertama dan 120 orang pelajar perintisnya telah menunjukkan kejayaan yang baik dalam bidang pelajaran.

Selain mata pelajaran biasa seperti Ilmu Alam, Sejarah, Ilmu Hisab dan lain-lain, pelajar-pelajar di MPSI juga diajar tentang anyaman, bertani, bertukang dan seumpamanya. Manakala pelajar-pelajar yang dapat memasuki MPSI terdiri daripada mereka yang telah lulus darjah 6 Sekolah Melayu. Ini juga merupakan syarat asas untuk memasuki MPSI. Tujuan asal Kerajaan Inggeris adalah supaya pelajar-pelajar ini lebih pandai sedikit daripada ibu bapa mereka dahulu. Kerajaan Inggeris juga berharap untuk menjadikan para pelajar ini sebagai tenaga pekerja mereka, tetapi apa yang berlaku adalah di luar dugaan.

MPSI yang menjadi tempat menimba ilmu itu telah menyedarkan lagi para pelajar tentang nasib bangsanya. Pendedahan pada apa yang berlaku di luar negeri melalui pembacaan telah membuahkan bibit-bibit semangat kebangsaan di kalangan pelajar-pelajar. Penubuhan Pejabat Karang- Mengarang 1925 mendedahkan lagi para pelajar pada sumber-sumber bacaan dari luar.

Pada masa Perang Dunia Kedua, MPSI telah ditutup kerana bangunan itu dijadikan Hospital Tentera oleh Inggeris dan para pelajar berpindah ke Kuala Kangsar. Di atas ihsan Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa, para pelajar MPSI ditempatkan di tiga buah istana di Kuala Kangsar iaitu Istana Hulu, Istana Kuning dan Istana Hilir. Walau bagaimanapun ketika perang merebak ke Tanah Melayu para pelajar diarahkan pulang ke kampung masing-masing.

Pada tahun 1946, apabila pengajian dibuka setelah tamatnya perang, MPSI menuju ke era yang lebih bersemangat lagi di kalangan para pelajarnya. Semangat kebangsaan mula bercambah subur di MPSI dan para pelajar semakin berani menuntut hak-hak pelajar sehingga berlaku tunjuk perasaan pada 10 Disember 1949 dan ekoran daripada itu MPSI ditutup selama 3 bulan.

Menjelang kemerdekaan 1957 peranan yang dimainkan oleh MPSI tidak kurang pentingnya. Institusi ini telah dapat menyediakan segolongan intelek Melayu yang berjiwa kebangsaan dan ini penting untuk mengisi ruang kemerdekaan yang akan diberikan. Tenaga pemimpin yang disediakan oleh MPSI ini amat diperlukan dan mereka telah dapat menunjukkan daya kepimpinan yang baik yang bukan sahaja membanggakan MPSI tetapi juga masyarakat Melayu seluruhnya. Antara tokoh-tokoh pemimpin yang dilahirkan oleh MPSI termasuklah Senu Abdul Rahman, Embong Yahya, Syed Nasir Ismail, Ibrahim Yaakob, Abdul Rahman Talib dan Abdul Ghafar Baba. Dalam bidang bahasa, sastera dan kebudayaan pula MPSI telah melahirkan ramai tokoh-tokoh berkaliber dalam bidang ini seperti Haji Buyung Adil, Harun Aminurrashid, Abdullah Sidek, Shahrom Hussein, Awang Had Salleh dan ramai lagi.

Mukasurat: 1  2