MALAYAN UNION - Teladan buat generasi kini, akan datang MALAYAN UNION - Teladan buat generasi kini, akan datang

Kuasa raja-raja Melayu dan persoalan kerakyatan di bawah Malayan Union ini telah membangkitkan kemarahan seluruh orang Melayu. Perasaan tidak puas hati ini mula tersebar luas. Suara-suara kritikan diluahkan dalam akhbar-akhbar Utusan Melayu, Majlis dan juga Warta Negara.  Para cendekiawan dan pemikir menyuarakan keresahan dan melontarkan idea bagi membangkitkan semangat agar orang Melayu bersatu dalam menggalas masalah yang dihadapi secara lebih telus dan bersepadu.

Situasi ini akhirnya telah mencetuskan satu gelombang bersepadu antara suara rakyat dan pemerintah dalam menentang dasar Malayan Union. Kemunculan Malayan Union menyuntik kesedaran orang Melayu bahawa perjuangan besar untuk mendapatkan kembali maruah dan kedaulatan negara tidak mungkin tercapai dengan suara minoriti.

 Menyedari hakikat ini, satu kongres yang menghimpunkan 41 buah persatuan Melayu seluruh negara diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Selangor pada 1 hingga 4 Mac 1946. Kongres ini didokong dan digerakkan oleh Zainal Abidin Ahmad (Zaaba), Pengerusi Persekutuan Melayu Selangor, Dato Onn Jaafar, Yang Dipertua Pergerakan Melayu Semenanjung dan Dato Panglima Bukit Gantang, Yang Dipertua Ikatan Melayu Perak, bersama-sama pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu yang lain di seluruh Persekutuan Tanah Melayu.

Kongres Melayu yang pertama ini telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor iaitu Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj. Dalam ucapan perasmiannya, baginda Sultan amat menyokong penuh penubuhan sebuah Persatuan Umat Melayu yang kuat di Tanah Melayu bagi menjamin kepentingan dan hak orang Melayu serta negara terus terpelihara. Kongres yang berlangsung selama empat hari tersebut telah membuat tiga ketetapan utama iaitu, penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR), membantah penubuhan Malayan Union dan mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu. 

Dengan ketetapan tersebut, akhirnya UMNO secara rasminya diisytiharkan penubuhannya  pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor.  Cogankata "Hidup Melayu" mendasari perjuangan UMNO pada ketika itu yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar. Apabila Tunku Abdul Rahman mengambil alih pucuk pimpinan UMNO, cogankata "Hidup Melayu" ditukar kepada "Merdeka". Berlandaskan cogankata ini, perjuangan UMNO diperhebatkan sehingga negara berjaya beroleh kemerdekaan.

Kejayaan tersebut adalah hasil permuafakatan dan sokongan padu seluruh rakyat kepada pemimpin dan Raja-raja Melayu. Rakyat mulai sedar, kita tidak boleh selamanya berada di bawah telunjuk penjajah. Fenomena ini merupakan satu kejutan besar  kepada pihak British yang sentiasa beranggapan bahawa orang-orang Melayu adalah bangsa yang lemah dan pasif dalam mengendalikan keperluan serta kepentingan masyarakat mereka sendiri.

Rentetan peristiwa sejarah negara ini amat penting difahami dan dihayati oleh semua rakyat negara ini, tanpa mengira lapisan masyarakat dan batas kaum. Malayan Union walaupun singkat usianya, meninggalkan impak yang amat hebat dan ia merupakan satu pengajaran yang amat berharga buat kita semua sebagai generasi pewaris.  

Satu perkara menarik yang perlu diketahui umum, kegagalan pelaksanaan Malayan Union di Tanah Melayu tidak langsung bergantung kepada kekuatan bala tentera atau jumlah senjata yang digunakan. Tidak juga melalui sebarang pertempuran atau keganasan. Sebaliknya, penentangan yang diajukan adalah melalui pergabungan kuat suara rakyat serta pemimpin yang dipayungi Raja-raja Melayu. Penyatuan suara ini juga amat unik sehingga dapat merungkai segala percaturan dan rancangan rapi yang disusun oleh pihak British.

Mukasurat: 1  2  3