 | Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dibuka dengan rasminya oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj pada 31 Ogos 1985. Penubuhan memorial ini adalah untuk mengenang dan memperingati jasa dan pengorbanan para pejuang kebebasan dan kemerdekaan tanahair membebaskan Negara dari cengkaman penjajah yang silih berganti. Perjuangan yang bermula seawal tahun 1511 mengambil masa 446 tahun dan diakhiri dengan pengisytiharan kemerdekaan negara pada tanggal 31 Ogos 1957. Memorial ini mengimbau sejarah perjuangan kemerdekaan dengan memaparkan pelbagai bahan seperti dokumen, gambar, cenderamata, keratan akhbar, pakaian rasmi, pen, keris, cop mohor dan peti undi. |
Bahan-bahan pameran dipamerkan mengikut sektor-sektor tertentu bagi memudahkan pelawat mengetahui dan memahami liku-liku perjuangan kemerdekaan negara. Sektor-sektor tersebut ialah Pengenalan dan Pertuanan Melayu, Menghadapi Cabaran Kuasa Asing, Kebangkitan Semangat Kebangsaan, Menentang Malayan Union, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, Menghadapi Gerakan Komunis, Ke Arah Kemerdekaan, Kemerdekaan, Raja Berpelembagaan, Ketua Negara, Negeri dan Kerajaan dan Penubuhan Malaysia. Terdapat juga kereta yang digunakan semasa perarakan sambutan Merdeka 1957 serta dua buah kereta perisai yang digunakan semasa Darurat yang dipamerkan di bahagian luar bangunan memorial. Selain dari bahan pameran, pengunjung juga boleh melihat sendiri keunikan bangunan memorial ini yang memperlihatkan ciri-ciri adunan senibina tempatan dan British. Pada asalnya bangunan ini adalah merupakan Kelab Melaka (Malacca Club) yang dibina pada tahun 1911. Bangunan ini terletak betul-betul berhadapan dengan Padang Banda Hilir Melaka iaitu tempat di mana Tunku Abdul Rahman Putra mengisytiharkan tarikh kemerdekaan sekembalinya Rombongan Merdeka dari London. Peristiwa yang berlaku pada tanggal 20 Februari 1956 ini merupakan satu episod penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara. Ingin melihat keris yang dijulang oleh Tunku semasa mengisytiharkan tarikh kemerdekaan tersebut? Datanglah ke Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan ini. |