Menjejaki 31 Ogos 1957
Perjuangan UMNO ini turut mendapat saingan hebat dari parti-parti kiri. Perjuangan parti-parti kiri ini mendapat sokongan kuat dari badan-badan kesatuan buruh dan lain-lain parti yang kemudiannya bergabung membentuk All Malayan Council Joint Action (AMCJA) pada 22 Disember 1946. Parti-parti kiri Melayu seperti PKMM, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan lain-lain parti turut bergabung membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada 22 Februari 1947. PUTERA dan AMCJA kemudiannya bergabung dan dikenali sebagai PUTERA-AMCJA.
Perjuangan UMNO mendapat sokongan padu daripada Raja-raja, pembesar-pembesar Melayu dan rakyat jelata. Hasil dari perjuangan yang gigih, akhirnya sebuah jawatankuasa telah dibentuk terdiri dari wakil-wakil kerajaan British, Raja-raja Melayu dan UMNO bagi mengkaji pembentukan sebuah kerajaan untuk menggantikan Malayan Union.
1948
Malayan Union dibubarkan dan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan pada 1 Februari 1948.
1951
Dato’ Onn meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO berikutan cadangannya supaya UMNO membukakan pintu kepada lain-lain kaum mendapat tentangan hebat dari ahli-ahli UMNO.
Wakil-wakil bahagian UMNO seluruh Malaya dihantar ke Johor Bahru untuk memujuk Dato’ Onn kembali memimpin UMNO. Rayuan dari wakil-wakil UMNO ini telah diterima oleh Dato’ Onn dan beliau kembali memimpin UMNO. Beberapa bulan kemudian, Dato’ Onn sekali lagi meninggalkan UMNO kerana cadangannya untuk membuka pintu keahliannya kepada kaum-kaum lain sekali lagi ditolak.