Parti Perikatan Simbol Pakatan Antara Kaum

Kemerdekaan bagi Semenanjung Tanah Melayu adalah matlamat utama apabila pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mengambil keputusan bergabung dengan Malayan Chinese Association (MCA) untuk memenangi Pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952. Pakatan antara dua parti perkauman dalam pilihanraya ini telah membawa kepada penubuhan Parti Perikatan. Perikatan sejak itu melakari sejarah negara sebagai simbol penyatuan tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India yang tercapai atas dasar persefahaman dan tolak ansur dengan satu matlamat iaitu kemerdekaan daripada penjajah British dan mentadbir sendiri negara ini.  

Tunku Abdul Rahman ketika berucap di Majlis Mesyuarat Agung UMNO pada 29-30 Mac 1952 menjelaskan bahawa British berjanji akan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu dengan syarat Darurat dapat ditamatkan dan penduduk-penduduk pelbagai bangsa di negeri ini dapat bersatu padu dan saling memahami. Janji dan syarat yang diletakkan oleh British ini yang dijadikan asas kepada usaha-usaha mewujudkan penyatuan dan kerjasama rapat antara kaum di Tanah Melayu. Pilihanraya perbandaran Kuala Lumpur yang akan diadakan pada 16 Februari 1952 pula bakal menyediakan peluang kepada parti-parti politik tempatan mendapat kerusi dan mentadbir sendiri majlis-majlis tempatan. Oleh itu, usaha lebih giat perlu dilakukan bagi memenangi pilihanraya ini.

Namun begitu, perkembangan suasana politik semakin meruncing dengan penubuhan Malayan Independence Party (IMP) dan dasar yang dibawa oleh parti tersebut. Oleh kerana bimbang keadaan ini bakal mencetuskan konflik perkauman yang lebih buruk, Tunku mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin MCA dan IMP pada awal Januari 1952. Namun perikatan UMNO-IMP yang ditawar oleh Tunku telah ditolak oleh Dato' Onn, pemimpin IMP. Apabila cadangan dikemukakan supaya UMNO bergabung dengan MCA Selangor untuk menghadapi pilihanraya perbandaran Kuala Lumpur, Tunku menyetujuinya kerana ia dilihat sebagai cara penyelesaian yang terbaik.

Pada masa yang sama, UMNO sebagai parti yang mewakili majoriti penduduk Melayu yang merupakan pribumi di negara ini juga sedar bahawa perjuangan ke arah kemerdekaan itu memerlukan pengorbanan dan untuk itu kerjasama dan sokongan daripada kaum-kaum lain adalah perlu bagi mencapai matlamat perjuangan.

Satu pengumuman bersama akhirnya dibuat pada 9 Januari 1952 oleh Dato' Yahaya, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pilihanraya UMNO Kuala Lumpur dan H.S.Lee, Pengerusi MCA Cawangan Selangor. Pengumuman mengenai UMNO dan MCA akan bekerjasama untuk bertanding dalam pilihanraya Majlis Bandaran Kuala Lumpur atas dasar ‘a common non-communal, non-party basis' ini ternyata mengejutkan seluruh negara dengan pelbagai bentuk reaksi diterima.

Selain Perikatan UMNO-MCA, parti-parti lain yang turut bertanding merebut 12 kerusi Majlis Perbandaran Kuala Lumpur bagi kawasan Sentul, Bangsar, Imbi dan Petaling Jaya ialah Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), Parti Buruh Selangor dan Parti Bebas. Untuk menghadapi pilihanraya 1952, UMNO-MCA telah mengeluarkan satu manifesto. Pilihanraya Kuala Lumpur pada 16 Februari 1952 berakhir dengan Perikatan berjaya memenangi 9 kerusi, IMP menang 2 kerusi manakala Parti Bebas menang 1 kerusi. Pilihanraya Kuala Lumpur merintis jalan menuju kemerdekaan.

Kemenangan Perikatan jelas menunjukkan usaha pakatan dan kerjasama antara kaum di negara ini disokong dan diterima dengan baik oleh penduduk di Tanah Melayu. Dalam pada itu, Persidangan UMNO di Melaka pada April 1953 menghasilkan resolusi menuntut supaya diadakan Pilihanraya Persekutuan pada tahun 1954. Resolusi ini turut mendapat sokongan dalam Konvensyen Kebangsaan pertama yang dianjurkan oleh Perikatan pada 23 Ogos 1953. Bertitik-tolak dari situ, Parti Perikatan peringkat kebangsaan ditubuhkan pada September 1953. Sebuah Majlis Kerja Kebangsaan dianggotai 30 ahli turut dibentuk bagi membincangkan langkah-langkah dan strategi untuk mendapatkan persetujuan British mengadakan Pilihanraya Persekutuan yang pertama di negara ini.
Image