Parti Perikatan Simbol Pakatan Antara Kaum Parti Perikatan Simbol Pakatan Antara Kaum



Parti Perikatan memilih kapal layar sebagai logo parti yang melambangkan bahtera yang gagah merenangi ombak dan rintangan demi mencapai hala tuju perjuangan iaitu kemerdekaan negara. Sebuah buku panduan yang mengandungi dasar-dasar Perikatan diterbitkan bagi menghadapi Pilihanraya Persekutuan. Ikrar utama Perikatan adalah untuk mencapai kemerdekaan negara dalam tempoh empat tahun. Beberapa pertemuan dan perbincangan diadakan bagi meneruskan dan mengukuhkan usaha-usaha Perikatan menghadapi Pilihanraya Persekutuan 1955 serta mencapai kemerdekaan untuk negara.

Dalam tahun 1954, Malayan Indian Congress (MIC) bergabung pula dengan Perikatan bagi membentuk Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC. Kemasukan MIC melengkapkan pembentukan kerjasama tiga kaum yang dominan yang telah bersatu buat pertama kalinya dalam sejarah Tanah Melayu dan meletakkan kesetiaan mereka kepada negara dan raja-raja.

Kerjasama kaum ini ternyata berhasil apabila Perikatan menang besar dalam Pilihanraya Persekutuan yang diadakan pada 27 Julai 1955 dengan memenangi 51 dari 52 kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan ini sekaligus memberikan mandat kepada Perikatan untuk membentuk kerajaan dan kabinet. Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu. Kabinet beliau dianggotai oleh 10 orang Menteri yang terdiri daripada enam ahli UMNO, tiga ahli MCA dan satu ahli MIC. Kemenangan ini juga amat bererti kepada Perikatan kerana ia membuka ruang yang luas untuk memperoleh kemerdekaan negara yang dihajati sekian lama. Usaha dan pengorbanan membuahkan hasil apabila negara berjaya memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957.

Parti Perikatan terus mengorak kejayaan demi kejayaan dalam persada politik negara. Selepas negara merdeka, usaha memupuk kerjasama antara parti diteruskan. Perpaduan dan kerjasama tiga parti komponen ini diperkukuhkan lagi selepas penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Pilihanraya umum pada 10 Mei 1969, buat pertama kalinya disertai parti politik dari negeri Sabah dan Sarawak.

Namun begitu, pilihanraya umum 1969 memberikan cabaran yang besar kepada Parti Perikatan. Perikatan bukan sahaja hilang dua pertiga majoritinya dalam Dewan Rakyat, malah kejadian rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang berlaku selepas pilihanraya tersebut telah mengugat usaha-usaha perpaduan dan keharmonian yang dipupuk selama ini. Peristiwa 13 Mei 1969 ini juga menyebabkan kerajaan merangka beberapa strategi dan formula baru untuk menyatupadukan kembali rakyat demi kestabilan dan keutuhan negara.

Perikatan diberikan imej baru. Pada 1 Jun 1974, sebuah parti politik baru secara rasminya menggantikan Perikatan dibentuk iaitu Barisan Nasional (BN). Keanggotaan parti turut diperluaskan. Beberapa parti pembangkang seperti Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Gerakan dan sebagainya telah berjaya ditarik menjadi parti komponen BN. Keanggotaan BN telah merangkumi sembilan parti politik iaitu UMNO, MCA, MIC, Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS), Parti Kemajuan Rakyat (PPP), Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) dan Sabah Alliance Party. Perlembagaan BN yang baru dikeluarkan.

BN turut menggunakan lambang baru ‘dacing' menggantikan lambang kapal layar. Simbol ‘dacing' sebagai neraca keadilan berkonsepkan pencapaian matlamat Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara yang bertujuan untuk menguatkan dan menstabilkan politik negara di samping mengeratkan lagi hubungan pelbagai kaum di negara ini. Pemimpin BN telah silih berganti menerajui pucuk pimpinan negara. Dengan keanggotaannya kini seramai 14 parti komponen, BN kekal menjadi simbol penyatuan kaum yang berterusan mewarnai persada politik negara sehingga ke hari ini.

Mukasurat: 1  2