Pasukan Home Guard Berdarah Satria Pasukan Home Guard Berdarah Satria

PASUKAN HOME GUARD BERDARAH SATRIA

Oleh: Aliza binti Minai Rajab

 

Pasukan Home Guard merupakan sebuah pasukan sukarela yang telah banyak membantu pasukan keselamatan mempertahankan negara daripada ancaman komunis semasa Darurat tahun 1948-1960. Kesanggupan mereka untuk berjuang dan berkorban nyawa demi nusa dan bangsa tidak ternilai harganya.

Sejarah penubuhan Pasukan Home Guard bermula apabila Parti Komunis Malaya telah mempertingkatkan aktiviti mereka bagi menuntut hak dan kuasa pemerintahan daripada Kerajaan British setelah Jepun menyerah kalah. Kekejaman komunis tanpa mengira mangsa menyebabkan Kerajaan British mengisytiharkan Ordinan Darurat di seluruh Tanah Melayu pada 19 Jun 1948. Walaupun darurat diisytiharkan, namun komunis masih terus berleluasa dan keadaan ini memaksa pentadbir British merombak pasukan polis sukarela dan mewujudkan Pasukan Home Guard pada Jun 1948 dan diletakkan di bawah kuasa Emergency (Home Guard) Regulations 1951.

Pada peringkat awal, pasukan ini diletakkan di bawah tanggungjawab pasukan polis dan ditubuhkan secara khidmat sambilan bagi menjaga kampung, kawasan ladang atau estet. Anggota Pasukan Home Guard boleh dikenali berdasarkan lilitan kain bertanda ‘HG’ di bahagian lengan kiri baju dan membawa surat kuasa. Anggotanya diberikan surat kuasa, latihan kawad dan cara-cara mengendalikan senjata. Keanggotaannya terdiri dari kaum Melayu, Cina, India, Eropah dan Orang Asli termasuk kaum wanita berumur di antara 18 hingga 55 tahun.

Pada September 1950, General Harold Briggs memperbesarkan pasukan ini di bawah Rancangan Kampung Baru bagi menjaga kampung tersebut. Pasukan ini kemudiannya diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Pertahanan Awam Persekutuan. Bagi membolehkan orang awam melibatkan diri secara sukarela dalam kegiatan melawan komunis, Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu telah mengadakan ‘Kempen Bulan Rakyat Melawan Pengganas’. Melalui kempen ini, orang awam digalakkan menjadi sukarelawan atau anggota Pasukan Home Guard. Kempen ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai yang ingin menamatkan kekejaman dan keganasan komunis.

Pada bulan Disember 1951, penyusunan semula Pasukan Home Guard telah dilakukan dan pasukan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pertahanan. Secara umumnya, pasukan Home Guard bertanggungjawab untuk mengawal kampung-kampung lama atau kawasan pengumpulan dan penempatan semula termasuk Kampung Baru. Mereka juga ditugaskan untuk mengawal kawasan strategik seperti tempat simpanan senjata api, kawasan perlombongan dan estet. Pasukan ini juga membantu polis mengadakan sekatan jalan raya dan memeriksa kad pengenalan penduduk serta menjalankan operasi penapisan di tempat-tempat awam di seluruh negara agar segala keperluan asas seperti bekalan makanan, ubat-ubatan, pakaian dan peralatan senjata tidak sampai ke tangan komunis. Pasukan Home Guard juga menjalankan rondaan dalam hutan dan melakukan tugas mengawal keselamatan di waktu malam secara bergilir-gilir.

Setelah darurat tamat pada tahun 1958, Pasukan Home Guard telah dibubarkan, namun ramai dalam kalangan anggotanya masih meneruskan aktiviti mereka dalam perkhidmatan sukarela. Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Kerajaan mengambil inisiatif untuk menyusun semula pasukan sukarela setelah menyedari kepentingan penglibatan rakyat dalam menjaga keamanan negara. Akhirnya, pada 1 Jun 1958, Kerajaan telah menubuhkan Askar Wataniah di bawah pengawasan dan kawalan Ketua Turus Tentera Darat. Ramai anggota Pasukan Home Guard dan lain-lain pasukan sukarela telah menyertai Askar Wataniah.

Sesungguhnya, Pasukan Home Guard memainkan peranan yang amat besar dalam menjamin kedaulatan dan kesejahteraan negara. Walaupun mereka melaksanakan tugas secara sukarela, semangat juang mereka amat tinggi dan sanggup berkorban nyawa demi nusa dan bangsa.

Mukasurat: 1  2  3