Patriotisme Pemangkin Pembinaan Negara Bangsa Patriotisme Pemangkin Pembinaan Negara Bangsa

    Namun, sedari atau tidak, pendidikan sejarah merupakan aset yang amat penting dalam pembentukan keperibadian bangsa dan negara yang lebih kukuh, tersusun dan terarah. Ia juga amat penting untuk membina semangat patriotik yang semakin tandus dalam kalangan generasi muda kini. Justeru, kebanyakan kita lupa bahawa negara kita pernah dijajah selama 446 tahun (1511 – 1957), satu jangkamasa yang amat panjang.
     Kita juga lupa tentang kesengsaraan dan perjuangan perit generasi terdahulu kerana kita tidak pernah mengalaminya. Jika disorot, pasti ramai di antara anak-anak kita yang tidak mengetahui  nama-nama terbilang seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Dato' Bahaman, Abdul Rahman Limbong, Dol Said, Rentap dan ramai lagi kerana saban hari mereka disogokkan dengan cerita-cerita hero khayalan seperti Spiderman atau Superman yang lebih menyeronokkan dan mengkhayalkan.

    Bagi tatapan generasi kini, elok jika diimbau sedikit perjuangan Mat Kilau, salah seorang tokoh pejuang yang unggul di negeri Pahang. Beliau terkenal dengan keberanian dan kegagahannya melancarkan gerakan-gerakan penentangan (1891–1895) kerana membantah campur tangan British dalam urusan pentadbiran di negeri Pahang. Beliau membantah perlaksanaan sistem Residen yang telah mengurangkan kuasa sultan dalam hal-ehwal pentadbiran, sekaligus mengenepikan peranan pembesar tempatan serta kesejahteraan rakyat jelata.

    Dalam strategi awal penentangannya, Mat Kilau telah mengarahkan pengikut-pengikutnya memotong talian telegraf bagi menyukar dan memutuskan perhubungan antara pegawai-pegawai pentadbir British. Walaubagaimanapun, perbuatan ini dapat dikesan oleh pihak British. Pihak British pula cuba memujuk Mat Kilau agar bekerjasama dengan mereka, namun pelawaan ini telah ditolak oleh Mat Kilau.

    Keengganan Mat Kilau untuk bekerjasama ini telah dijadikan alasan oleh British untuk menangkapnya. Dengan ini gerakan-gerakan memburu Mat Kilau serta pengikut-pengikutnya mula dilancarkan.

    Perjuangan dan ketokohan Mat Kilau ini dapat dilihat daripada kesungguhan dan kesanggupan beliau berjuang berterusan menentang British walaupun menghadapi pelbagai kesukaran. Beliau menyedari Sultan yang berada di bawah pengaruh dan telunjuk British tidak mungkin memberi sokongan kepada usaha penentangan tersebut. Ditambah pula dengan adanya beberapa pembesar dan orang-orang tempatan sendiri yang sanggup berpihak kepada British dengan menyalurkan maklumat dan menyertai gerakan memburu beliau dan pengikut-pengikutnya.

Mukasurat: 1  2  3  4