Patriotisme Pemangkin Pembinaan Negara Bangsa Patriotisme Pemangkin Pembinaan Negara Bangsa

    Penentangan Mat Kilau walaupun tidak berjaya menyekat kemaraan British, setidak-tidaknya ia dapat menyedarkan pihak British agar tidak memandang remeh terhadap keupayaan rakyat tempatan yang memiliki kekuatan tersendiri sebagaimana ditonjolkan oleh Mat Kilau.  Berdasarkan kepada sumber-sumber rasmi yang terdapat di Arkib Negara Malaysia, pihak pentadbir British terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan khidmat tambahan polis Sikh bagi membantu memerangi kumpulan penentang (terdapat hampir 200 buah fail dalam simpanan Arkib Negara berkaitan Mat Kilau dan pergolakan di Pahang yang boleh dirujuk). Perbelanjaan tambahan juga diperlukan untuk mendirikan kubu-kubu pertahanan, jambatan dan menyediakan peralatan senjata selain membiayai ekspedisi memburu penentang tersebut. Perkara ini jelas menunjukkan betapa besar ancaman dan tekanan yang dihadapi oleh pihak British, walaupun kumpulan penentang ini terdiri daripada orang-orang kampung yang tidak terlatih dan tidak memiliki senjata yang canggih untuk menandingi senapang dan polis upahan British sebaliknya hanya berbekalkan semangat juang yang tinggi dan kecintaan kepada negara yang tidak berbelah bagi.

   Jika rakyat Malaysia mempunyai semangat patriotik dan ketahanan diri yang tinggi sebagaimana yang dimiliki oleh Mat Kilau, kita tidak perlu untuk mengadakan institusi-institusi bagi menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara seperti Biro Tata Negara, Program Latihan Khidmat Negara dan sebagainya. Namun, kerana ramai di antara kita yang lupa sejarah perjuangan bangsa serta lemah jati diri, kerajaan telah menubuhkan Biro Tata Negara pada tahun 1974,  yang dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan pendidikan kenegaraan bagi memupuk semangat patriotisme rakyat Malaysia. Pendidikan kenegaraan ini amat penting untuk diterapkan kepada semua lapisan masyarakat termasuk anggota komuniti institusi pendidikan, belia, pekerja awam dan swasta, anggota pertubuhan, serta pemimpin dan pemaju masyarakat.

    Pendidikan ini juga untuk mempertingkatkan kesedaran, penghayatan serta komitmen rakyat secara berterusan kepada wawasan negara dan usaha-usaha ke arah kecemerlangan, mempersiapkan rakyat supaya menunjangi dasar-dasar negara ke arah pembangunan demi kesejahteraan bangsa.

 Semangat patriotisme dan kecintaan yang tinggi kepada negara merupakan benteng bagi mempertahankan kemerdekaan dan menjamin keharmonian yang dinikmati kini dapat terus dikekalkan. Sebagai rakyat dan juga pemimpin,  pastinya tidak mahu peristiwa hitam 13 Mei 1969 serta penjajahan kuasa asing berulang dan bertapak lagi di bumi Malaysia tercinta.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.arkib.gov.my.

 

Mukasurat: 1  2  3  4