ANM telah mula melaksanakan program Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO melalui persijilan MS ISO 9002:1994 yang diperolehinya pada 14 Disember 2000.
Bagi memastikan pelaksanaan SPK dilaksanakan secara berkesan, kerajaan telah mengeluarkan Surat Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bil. 2/2002 untuk memberi penerangan dan garis panduan bagi membantu agensi melaksanakan SPK MS ISO bagi versi 2000. ANM telah mengambil inisiatif dalam melaksanakan SPK MS ISO 9001:2000 dengan mendapatkan persijilan pada tahun 2004 dan persijilan semula pada Disember 2007. Skop persijilan bagi kedua-dua versi SPK MS ISO ANM adalah Perolehan dan Pemeliharaan Fail-Fail Rasmi Kerajaan. Skop ini meliputi proses utama dalam pengurusan rekod dan arkib.
Oleh kerana skop yang dilaksanakan dalam kedua-dua versi SPK MS ISO hanya melibatkan satu jenis bahan sahaja, ANM telah bersetuju untuk memperluaskan skop yang sedia ada kepada skop baru iaitu Pengurusan Rekod dan Pentadbiran Arkib Awam. Dalam skop baru ini, ia akan melibatkan pertambahan prosedur proses yang baru dan merangkumi keseluruhan jenis rekod awam dan arkib awam yang diterima dan disimpan di ANM.
Selaras dengan pemakaian ISO 9001:2008 di peringkat antarabangsa pada 13 November 2008, ANM juga telah mengambil inisiatif melaksanakan pemakaian versi ini. Versi 2008 yang diperkenalkan tidak melibatkan banyak perubahan kepada standard yang sedia ada dan hanya membuat penambahan kepada proses ‘outsourcing'; latihan bagi meningkatkan kecekepan; persekitaran kerja termasuk fizikal dan alam sekitar; dan pengukuran proses berfokus kepada keberkesanan.
Pelaksanaan kepada pemakaian versi dan skop baru ini dijangka dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2009 di mana ia akan melibatkan 19 seksyen dan 35 Prosedur Kualiti yang terdiri daripada Manual Kualiti, Prosedur Wajib, Prosedur Operasi dan Prosedur Sokongan.